X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 04 Julai 2022

KDNK suku pertama 5 peratus petunjuk pemulihan ekonomi sudah bermula

Gambar hiasan
A
A

PRESTASI Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama sebanyak 5.0 peratus dan petunjuk ekonomi terkini menunjukkan bahawa pemulihan ekonomi sudah pun bermula.

Menurut Laporan Kewangan Rakyat (LKR) ke-95 yang diterbitkan pada Sabtu berkata, ekonomi Malaysia tahun ini dijangka berkembang antara 5.3 peratus hingga 6.3 peratus disokong oleh permintaan dalam negeri yang lebih tinggi dan sokongan daripada permintaan luar, peningkatan aktiviti ekonomi dan pasaran buruh yang terus pulih.

"Susulan daripada sempadan antarabangsa kembali dibuka, sektor pelancongan juga akan kembali pulih.

"Peningkatan aktiviti perdagangan akan memberi impak positif kepada sektor perkhidmatan," demikian menurut laporan tersebut.

Selain itu, pertumbuhan juga dibantu oleh langkah-langkah Bajet 2022 yang mengembang, projek yang mempunyai kesan pengganda tinggi dan program pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

"Bagaimanapun, kita masih perlu berhati-hati terhadap perkembangan global dan geopolitik terkini yang boleh menjejaskan momentum pemulihan ekonomi negara, terutamanya inflasi bila harga komoditi terus meningkat, dan juga gangguan rantaian bekalan," katanya.

Justeru, kerajaan akan terus memantau perkembangan pelbagai risiko ekonomi, supaya kejutan luaran yang boleh memberi kesan ke atas kesejahteraan rakyat dan perniagaan dapat diuruskan, kata laporan tersebut.

Sementara itu, laporan itu menyebut Kementerian Kewangan amat menitikberatkan kesedaran amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Prinsip Tadbir Urus yang Baik (PGG) bagi mencapai matlamat seperti kepelbagaian, kesaksamaan, pemeliharaan alam sekitar atau membantu golongan yang kurang bernasib baik.

"Bagi meningkatkan kesedaran mengenai SDG, kementerian telah mengambil beberapa langkah termasuk mengenal pasti jurang pembiayaan sedia ada program dan projek berkaitan SDG di peringkat kementerian.

"Kementerian telah memadankan semua program dan projek di bawah Perbelanjaan Pembangunan Kementerian kepada SDG yang bersesuaian," jelas laporan itu

Ini juga sebahagian daripada usaha untuk mewujudkan prinsip kelestarian dalam perbelanjaan awam, menurut laporan itu.

Kementerian Kewangan memperuntukkan RM450 juta melalui Bajet 2022 untuk pemuliharaan alam sekitar dan biodiversiti, termasuk penanaman pokok dan projek pemuliharaan alam semula jadi.

Menerusi kolaborasi dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga, kementerian telah menubuhkan Malaysia Sustainable Development Goals Trust Fund (MySDG Fund) dengan peruntukan awal RM20 juta kepada Kumpulan Wang Amanah MySDG.

Bagi PGG pula, inisiatif prinsip tadbir urus yang baik akan membina daya tahan syarikat untuk menghadapi cabaran masa hadapan, terutamanya dari segi memberi panduan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di dalam ekosistem GLIC bagi mencapai matlamat ESG dan SDG Malaysia.

"Ini adalah penting bagi memastikan syarikat bersedia menghadapi peningkatan permintaan pasaran berkenaan ESG, di mana prinsip tadbir urus yang baik mencadangkan penubuhan struktur tadbir urus bagi pengawasan ESG di dalam strategi pelaburan mereka.

"Yang sama penting dan perlu ditekankan adalah keperluan untuk meningkatkan kapasiti dan kepakaran mengenai ESG dalam memastikan kelangsungan usaha ini di masa hadapan," jelasnya.

Menurutnya, ada pelbagai data yang menunjukkan bahawa syarikat yang memberi tumpuan kepada isu ESG telah berjaya mengurangkan kos, meningkatkan produktiviti pekerja, mengurangkan pelbagai risiko, dan mencipta lebih banyak peluang perniagaan.

Pandemik Covid-19 juga banyak membuktikan bahawa syarikat yang sentiasa bersiap-siaga dan mengamalkan tadbir urus atau governance yang baik memiliki kelebihan dari segi daya tahan.

Dalam jangka masa panjang, ini akan meningkatkan keuntungan syarikat dan memastikan kelangsungan perniagaan.

LKR merupakan penjenamaan semula bagi laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) yang diterbitkan oleh Kementerian Kewangan secara mingguan sejak April, tahun 2020. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!