RISDA sedia RM508 juta tahun ini, bantu pekebun kecil

Mohd Salim (kanan) menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2022 Parlimen Jempol Bersama RISDA Malaysia, pada Jumaat.
Mohd Salim (kanan) menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2022 Parlimen Jempol Bersama RISDA Malaysia, pada Jumaat.
A
A
A

JEMPOL - Kerajaan melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperuntukkan sebanyak RM508 juta pada tahun ini bagi melaksanakan program pembangunan pekebun kecil.

Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif berkata, daripada jumlah itu RISDA telah menerima penyaluran sebanyak RM127 juta bagi sukuan pertama tahun ini yang melibatkan tiga program utama.

"Ia melibatkan Program Pembangunan Kawasan Bertanam Getah sebanyak RM99 juta, Program Peningkatan Produktiviti sebanyak RM19 juta dan Program Pembangunan Semula Hasil Baharu sebanyak RM7 juta.

"Program itu dijangka dapat dimanfaatkan oleh lebih 300,000 pekebun kecil yang aktif diseluruh negara," katanya pada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Jempol dan RISDA Malaysia di Dataran Bandar Seri Jempol, Felda Jaya pada Jumaat.

Mohd Salim yang juga Ahli Parlimen Jempol berkata, keadaan cuaca yang tidak menentu, produktiviti dan harga komoditi getah yang rendah merupakan antara cabaran pekebun kecil untuk terus menikmati kemakmuran menerusi bantuan-bantuan yang disediakan.

Mohd Salim (dua dari kanan) bergambar bersama orang ramai yang hadir pada majlis berkenaan.
Mohd Salim (dua dari kanan) bergambar bersama orang ramai yang hadir pada majlis berkenaan.

"Melihat kepada prestasi pembangunan semasa, RISDA sentiasa proaktif dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang berkesan kepada pekebun kecil di luar bandar melalui program-program bekalan baja, benih, pembinaan prasarana dan modal insan di kawasan pekebun kecil.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, pekebun kecil disarankan untuk hadir ke pejabat RISDA yang berhampiran bagi mendapatkan khidmat nasihat berkaitan program-program bantuan yang ditawarkan.

"Bermula fasa peralihan ke endemik, pejabat-pejabat RISDA telah beroperasi seperti biasa dan tidak perlu membuat temu janji seperti mana sebelum ini," katanya.

Ujarnya, perjumpaan dan konsultasi secara bersemuka amat penting untuk pekebun kecil mendapatkan maklumat yang sahih dan terperinci agar bantuan-bantuan yang disediakan oleh RISDA sampai tepat kepada kumpulan sasar.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan Mohd Salim berkata, RISDA bersedia menangani masalah sekuriti makanan negara melalui pelbagai inisiatif termasuk membangunkan kilang ternakan makanan di Durian Mas, Terengganu dengan menggalakkan penanaman jagung untuk ternakan.

“Usaha itu akan menggalakkan pekebun kecil menanam jagung yang khas untuk ternakan sekali gus dapat meningkatkan pendapatan mereka melalui program yang kita laksanakan ini," katanya.