Perjuangan Kedah perlu diteruskan tanpa Syafiq

Syafiq (dua dari kiri) muncul antara pemain yang memberikan aksi terbaik pada sembilan aksi Liga Super bersama KDA FC sebelum ini. Foto: KDA FC
Syafiq (dua dari kiri) muncul antara pemain yang memberikan aksi terbaik pada sembilan aksi Liga Super bersama KDA FC sebelum ini. Foto: KDA FC
A
A
A

PERSIAPAN Kedah Darul Aman (KDA) FC menjelang pintu perpindahan kedua Liga Malaysia 2022 pada hujung Mei ini akan berjalan seperti biasa biarpun dikejutkan berita Syafiq Ahmad dipanggil pulang ke JDT selepas tamat aksi bersama skuad kebangsaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khamal Idris Ali berkata, penyerang berusia 28 tahun itu telah dipinjamkan oleh Harimau Selatan selama semusim pada tahun ini, namun juara lapan kali Liga Super itu berhak untuk memanggil semula pemain mereka.

"Persiapan kami berjalan seperti biasa dan ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak akan menilai kembali secara keseluruhan apa yang perlu dibuat," katanya semasa dihubungi pemberita pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Khamal Idris berkata, perjuangan pasukan untuk kembali memberikan cabaran pada Liga Super dan pentas Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2022 perlu diteruskan walaupun kehilangan khidmat Syafiq.

Menurutnya, Aidil Sharin juga kini sedang menilai pemain-pemain yang bakal dibawa masuk bagi menguatkan Sang Kenari pada perpindahan kedua ini.

"Tekanan tinggi kini sedang dirasakan oleh semua pihak dalam pasukan KDA FC termasuk pemain. Banyak mata sedang memerhati apa yang akan dilakukan oleh pasukan ini menjelang perpindahan kedua pemain," ujarnya.

Khamal Idris berkata, perbincangan dengan beberapa pemain yang bakal digugurkan juga berjalan lancar dan KDA FC mengharapkan perkara tersebut dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat

Pada Jumaat, laman Facebook Johor Southern Tigers melaporkan JDT akan memanggil semula Syafiq daripada pinjamannya di KDA FC.

Pemain itu akan menyertai semula skuad JDT selepas tamat cuti antarabangsa.

Walau bagaimanapun kelab tersebut tidak menjelaskan punca mengapa Syafiq dipanggil semula.