JDT panggil semula Syafiq Ahmad

Syafiq Ahmad FOTO: Kedah Darul Aman FC
Syafiq Ahmad FOTO: Kedah Darul Aman FC
A
A
A

TIDAK sampai beberapa bulan dipinjamkan ke Kedah Darul Aman (KDA) FC, Johor Darul Ta’zim (JDT) memanggil semula penyerangnya, Syafiq Ahmad untuk kembali menyertai pasukan Harimau Selatan.

Perkembangan itu dimaklumkan JDT dalam kenyataan di media sosial miliknya sambil memberitahu bahawa penyerang kebangsaan itu akan kembali ke kelab asalnya sejurus berakhir rehat antarabangsa bulan depan.

Bagaimanapun dalam kenyataan tersebut, JDT tidak memaklumkan sebab Syafiq dipanggil semula memandangkan kedua-dua kelab itu sebelum ini bersetuju untuk meminjamkan pemain itu selama semusim.

“Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim akan memanggil semula Syafiq Ahmad daripada pinjamannya di Kedah Darul Aman FC.

"Beliau akan menyertai semula skuad JDT selepas tamat cuti antarabangsa," kata kenyataan itu.

Perkembangan itu sudah semestinya satu tamparan hebat buat KDA yang kini sedang mempersiapkan pasukan yang ampuh menghadapi Piala AFC pada Jun ini selain sedang cuba memperbaiki kedudukan dalam Liga Super.

Untuk rekod, Syafiq Ahmad menyertai JDT dari Kedah pada 2018 dan membuat 22 penampilan dengan lima gol termasuk satu ketika final Piala Malaysia dan kembali menyarung jersi skuad Kenari tahun ini sebagai pemain pinjaman.