McDonald’s Malaysia iktiraf guru luar biasa sempena Hari Guru

Mohd Radzi (tengah) bergambar bersama 25 penerima Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2022 sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2022 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok pada Sabtu lepas.
Mohd Radzi (tengah) bergambar bersama 25 penerima Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2022 sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2022 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok pada Sabtu lepas.
A
A
A

McDonald’s Malaysia mengiktiraf pencapaian luar biasa 25 orang pendidik di seluruh negara menerusi penyampaian Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2022 sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan tahun ini.

Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran McDonald’s Malaysia, Melati Abdul Hai berkata, anugerah diberikan kepada guru-guru berkaliber yang banyak memberi inspirasi dalam mencipta pelbagai inovasi sekali gus memacu ke arah kecemerlangan anak-anak bangsa.

Katanya, sambutan amat menggalakkan dengan lebih 5,600 pencalonan membabitkan guru-guru di seluruh negara diterima oleh pihak McDonald’s Malaysia bermula pada 10 Mac hingga 2 April lalu iaitu peningkatan sebanyak 1,200 berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Penelitian dan penilaian dilakukan dengan terperinci pada setiap pencalonan oleh barisan juri daripada Kementerian Pendidikan (KPM), McDonald’s Malaysia dan wakil media yang dijemput.

“Akhirnya 25 pencalonan berjaya bagi menerima Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2022 sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Kelantan tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2022 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok di sini, pada Sabtu lepas.

Melati ketika berucap pada Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2022 pada Sabtu, di hadapan barisan guru penerima Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2022 Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan tahun ini.
Melati ketika berucap pada Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2022 pada Sabtu, di hadapan barisan guru penerima Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2022 Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan tahun ini.

Anugerah disampaikan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin pada majlis tersebut yang turut dihadiri Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Nor Zamani Abdol Hamid.

Semua penerima Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2022 menerima hadiah wang tunai RM5,000, sijil dan sebuah trofi.

Menurut Melati, guru-guru dinilai menerusi empat kriteria kelayakan untuk menerima anugerah.

Ia melibatkan kriteria mencipta teknik, inovasi dan akses pembelajaran yang baharu; penciptaan inovasi yang menemberi impak besar kepada kecemerlangan pelajar; usaha yang dilakukan oleh guru dan tahap pengaplikasian inovasi yang dicipta oleh guru berkenaan.

“Memasuki tahun keenam, McDonald’s memperkenalkan anugerah tahunan ini sebagai inisiatif dan komitmen dalam menyumbang kepada masyarakat di sekitar lokasi operasinya menerusi pengiktirafan kepada guru luar biasa yang memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan negara melalui pendidikan.

“Setiap guru adalah unik dan dapat memberi inspirasi dengan cara tersendiri serta terbukti menerusi kisah-kisah yang dikongsikan.

Mohd Radzi (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2022 kepada guru orang kurang upaya (OKU), Huzaire Ahmad (dua, dari kanan).
Mohd Radzi (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2022 kepada guru orang kurang upaya (OKU), Huzaire Ahmad (dua, dari kanan).

“Ini menandakan komitmen tidak berbelah bahagi mereka dalam melaksanakan tanggungjawab melebihi tugas-tugas hakiki demi mendidik anak bangsa secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata, sejak pertama kali dilaksanakan pada tahun 2017, Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s sudah diberikan kepada 131 guru yang menjalankan tanggungjawab melebihi tugas hakiki dalam mendidik, memotivasi dan memberi inspirasi kepada generasi masa hadapan negara.

“Dua tahun kebelakangan ini kita menghadapi situasi sukar, dengan sekatan pandemik yang memberi kesan kepada pengalaman pembelajaran normal murid.

“Namun kisah yang kami perolehi hasil pembacaan berdasarkan pencalonan diterima sejak bermulanya pandemik menunjukkan betapa kukuhnya semangat kemanusiaan dan para guru yang menjadi pemacu utama sistem pendidikan negara.

“Semasa memasuki fasa peralihan endemik ini, janganlah kita lupa semangat serba boleh yang terpahat dalam diri kita semua, penyesuaian yang dilakukan dan daya tahan yang ditunjukkan para guru dalam menjalankan tanggungjawab.

“Kesukaran mereka ketika melalui masamasa yang tidak menentu itu wajar dibanggakan serta disanjung tinggi,” katanya.

Sedia kupon

Mohd Radzi (kiri) menyampaikan Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2022 kepada guru, Siti Ainulmursyida Shamsudin (tengah).
Mohd Radzi (kiri) menyampaikan Anugerah Guru Inspirasi McDonald’s 2022 kepada guru, Siti Ainulmursyida Shamsudin (tengah).

Jelasnya, sempena Sambutan Hari Guru tahun 2022, 500,000 guru bakal diraikan dengan pemberian baucar hidangan makanan McDonald’s secara percuma dalam usaha menceriakan dan menghargai segala bakti yang ditabur oleh mereka.

Mereka boleh menebus sama ada “Spicy Sesame McChicken” dengan minuman atau “Sausage McMuffin with Egg” dan kopi Americano. Baucar-baucar ini boleh digunakan dari 16 Mei 2022 sehingga 30 Jun 2022.

“Selain itu, semua 318 restoran McDonald’s di seluruh negara akan menganjurkan parti Hari Guru pada bulan Mei dan Jun ini di mana kru restoran McDonald’s bakal meraikan mereka dengan aktiviti permainan, sesi bergambar dan pelbagai lagi,” katanya.