Kemalangan dua lori, pemandu cedera di kepala

Keadaan lori membawa muatan kereta selepas kemalangan.
Keadaan lori membawa muatan kereta selepas kemalangan.
A
A
A

HULU SELANGOR - Seorang pemandu lori yang membawa muatan kereta cedera di kepala selepas kenderaan dipandunya melanggar belakang sebuah lori di susur Bukit Tagar Lebuh raya Utara Selatan (PLUS) arah utara pada Jumaat.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, laporan berhubung kejadian diterima pada jam 5.14 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa ke lokasi kejadian.

Menurutnya, mangsa berusia 38 tahun dibawa keluar daripada lori oleh awam sebelum pasukan bomba tiba.

"Mangsa diberikan rawatan awal sebelum diserahkan kepada pihak ambulans untuk menerima rawatan lanjut di hospital, " katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, susulan kejadian itu, satu daripada tiga kereta yang berada di atas lori berkenaan tercampak di atas jalan raya.

"Anggota bertugas membuat pemantauan di lokasi sehingga keadaan benar-benar selamat sebelum meninggalkan lokasi kejadian.

"Punca kejadian masih disiasat dan tidak pasti jika ia disebabkan oleh masalah brek, " katanya.