Selgate Healthcare Centre bernilai RM3.5 juta dilancar di Unisel

Selgate Healthcare Centre di Unisel Shah Alam.
Selgate Healthcare Centre di Unisel Shah Alam.
A
A
A

SHAH ALAM - Selgate Corporation melalui anak syarikat penjagaan kesihatannya, Selgate Healthcare Sdn Bhd melancarkan Selgate Healthcare Centre di Universiti Selangor (Unisel) di sini pada Khamis.

Pusat perkhidmatan kesihatan dan penjagaan perubatan berkualiti bernilai RM3.5 juta itu menempatkan perkhidmatan merangkumi klinik awam, klinik pergigian, Farmasi Jovian Selcare dan makmal diagnostik.

Lebih daripada sekadar pusat penjagaan kesihatan tradisional, pusat sehenti itu menyediakan pengalaman menyegarkan dengan menggabungkan teknologi dan peralatan terkini serta pasukan penjagaan primer bersepadu terdiri daripada pakar pelbagai disiplin.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Noor Hisham Mohd Ghouth berkata, pusat penjagaan kesihatan bersepadu itu juga merupakan satu pencapaian bermakna kepada syarikat sejajar dengan aspirasinya untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan peribadi berkualiti dan mampu milik buat semua.

"Harapan Selgate adalah untuk menjadi salah sebuah pengendali penjagaan kesihatan swasta terkemuka di Malaysia dan kami sentiasa berusaha menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti mampu dimiliki dan pada masa sama mengisi jurang perkhidmatan kesihatan di kawasan lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Selgate Healthcare Centre di Unisel di sini yang disempurnakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Khamis.

Mohammad (kiri) dan Noor Hisyam (tengah) mengiringi Dr Mariah menandatangani plak perasmian Selgate Healthcare Centre di Unisel Shah Alam.
Mohammad (kiri) dan Noor Hisyam (tengah) mengiringi Dr Mariah menandatangani plak perasmian Selgate Healthcare Centre di Unisel Shah Alam.

Hadir sama, Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Negeri Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud serta Presiden dan Naib Canselor UniSel Kampus Shah Alam, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, Selgate komited dan menyokong kuat dasar kerajaan Persekutuan dan negeri bagi menuju ke arah negara lebih maju melalui sumbangan kepakaran khususnya dalam sektor kesihatan.

"Kerjasama kami dengan kerajaan negeri Selangor dalam memerangi wabak Covid-19 sejak awal adalah tanda komitmen kami dan juga membuktikan bahawa kerjasama antara kerajaan dan badan korporat adalah penting bagi kesejahteraan rakyat Selangor," katanya.

Noor Hisham berkata, keputusan untuk membina Selgate Healthcare Centre juga selaras dengan kesungguhan kerajaan negeri Selangor untuk menambah baik dan menaik taraf perkhidmatan kesihatan di kawasan bandar khususnya di Shah Alam.

Katanya lagi, dengan pembangunan pusat bersepadu itu, Selgate boleh membantu mempromosikan Selangor sebagai salah sebuah destinasi pelancongan kesihatan ideal serta meningkatkan ekonomi negeri.

"Walau kita berada dalam keadaan yang tidak menentu, namun akses kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti tidak harus dikompromi.

"Kami mahu menyediakan kepada orang ramai penjagaan berterusan, memberikan mereka lebih banyak kemudahan dan akses perundingan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan serta tenaga kepakaran pilihan mereka," tambahnya.