LPT3: Pacu ekonomi daerah utara Terengganu

Pembinaan LPT3 yang menghubungkan terus Tepoh di Kuala Nerus ke Kelantan akan merancakkan lagi ekonomi tempatan, selain menjimatkan masa perjalanan. Gambar kecil: Tengku Hassan
Pembinaan LPT3 yang menghubungkan terus Tepoh di Kuala Nerus ke Kelantan akan merancakkan lagi ekonomi tempatan, selain menjimatkan masa perjalanan. Gambar kecil: Tengku Hassan
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur 3 (LPT3) yang menghubungkan terus Tepoh di Kuala Nerus ke Kelantan akan merancakkan lagi ekonomi tempatan, selain menjimatkan masa perjalanan.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar berkata, pembangunan projek ini dapat meningkatkan ekonomi penduduk melalui peningkatan nilai hartanah khususnya di kawasan-kawasan yang terletak berhampiran dengan ‘exit’ serta koridor jajaran LPT3.

“Kita sedia maklum, faktor lokasi dan kebolehcapaian (accessibility) melalui pengangkutan awam akan mempengaruhi nilai harta perdagangan.

“Jadi, dengan adanya projek LPT3 nanti, kawasan-kawasan terutamanya yang terletak dengan ‘exit’ serta koridor jajaran LPT3, pasti nilai hartanah perumahan dan premis perniagaan berlipat kali ganda nilainya berbanding dengan kawasan yang tidak dilengkapi dengan infrastuktur pengangkutan awam,” katanya.

Pembinaan LPT3 akan menyumbang pertumbuhan ekonomi sesebuah kawasan.
Pembinaan LPT3 akan menyumbang pertumbuhan ekonomi sesebuah kawasan.

Menurut Tengku Hassan, pembinaan LPT3 nanti dapat menggalakkan pembangunan tanah di sekitar ‘exit’ LPT3 kerana lazimnya kawasan-kawasan yang dilengkapi dengan akses atau persimpangan terus ke lebuh raya mendapat banyak manfaat.

“Bagi projek LPT3 nanti, tiga daerah di negeri ini akan terlibat iaitu Kuala Terengganu, Setiu serta Besut dan sudah pasti kawasan ini dapat menikmati pertumbuhan pesat kerana ia semakin mudah dikunjungi menerusi akses eksklusif LPT3.

“Secara tidak langsung, ia merangsang pertumbuhan kawasan perindustrian, perniagaan dan penempatan baru di lokasi-lokasi terbabit yang seterusnya membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan ekonomi kepada penduduk sekitar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Impak positif jangka panjang

Beliau berkata, kewujudan satu rangkaian lebuh raya yang moden dapat membantu memajukan ekonomi sesuatu kawasan.

“Kesan langsung kepada pengguna LPT3 apabila ia memudahkan pergerakan orang ramai dari Terengganu ke Kelantan melalui satu rangkaian lebuh raya yang lengkap dengan pelbagai kemudahan.

“Manakala, kesan tidak langsung pula, lebih besar kerana ia membabitkan sumbangan sosio-ekonomi kepada penduduk sekitar menerusi peluang pekerjaan dan perniagaan,” katanya.

Jelas Tengku Hassan lagi, pembinaan LPT3 sememangnya banyak membantu dalam menyumbangkan pertumbuhan ekonomi sesebuah kawasan.

Jeti Kuala-Besut ke Pulau Perhentian juga bakal mendapat manfaat dari sudut pelancongan domestik.
Jeti Kuala-Besut ke Pulau Perhentian juga bakal mendapat manfaat dari sudut pelancongan domestik.

“Pertumbuhan industri atau perniagaan akan lebih banyak diwujudkan kerana orang ramai dapat sampai ke satu kawasan dengan lebih mudah dan cepat.

“Malah, kawasan yang sebelum ini sukar untuk dihubungi menjadi mudah untuk dikunjungi,” katanya.

Selain itu, Tengku Hassan berkata, kewujudan LPT3 dapat menjimatkan masa pengangkutan untuk pemasaran dan logistik seperti barang-barang makanan atau perikanan ke bandar-bandar utama.

“Masa perjalanan juga dapat dijimatkan kerana kurangnya halangan seperti tiada lampu isyarat, pusingan U, atau kenderaan berhenti untuk menurunkan penumpang.

“Selain itu, pengguna lebuh raya dapat mengekalkan kelajuan konsisten, kerana masa penghantaran adalah lebih konsisten dan mengikut jadual,” jelasnya.

Peluang pekerjaan dan perniagaan

Jika dilihat perspektif dari segi sumbangan langsung, pembinaan lebuh raya membolehkan rantaian pekerjaan dan peluang perniagaan diwujudkan.Malah, faktor ini turut menjadi penghubung yang lebih baik kepada pembangunan ekonomi bagi masyarakat setempat yang tinggal berhampiran lebuh raya.

Menurut Tengku Hassan, sebagai contohnya, LPT3 nanti bakal menyediakan platform dan menggalakkan peniaga tempatan dan juga pengusaha-pengusaha kecil khususnya dalam Industri Perusahaan Kecil dan Sederhana (IKS) untuk mempromosikan jualan produk setempat serta peluang berniaga di gerai-gerai makanan dan minuman di sepanjang kawasan rehat dan rawat (R&R) dan hentian sebelah.

“Selain itu, dengan disediakan kemudahan R&R dan hentian sebelah nanti, ia menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan,” katanya.