X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Rizab telaga air bawah tanah negara mencukupi: NADMA

NADMA turut menasihatkan agar semua yang terlibat dalam pengurusan bencana sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan terutama susulan dari cuaca panas dan kering seperti jerebu, kebakaran hutan serta penurunan aras air empangan. - Foto 123rf
A
A

KUALA LUMPUR - Telaga aktif sumber air bawah tanah atau telaga tiub di negara ini mempunyai rizab yang mencukupi untuk menghadapi sebarang kemungkinan jika berlakunya bencana pada musim kering susulan peralihan Monsun Barat Daya.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata, berdasarkan data Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), terdapat 5,563 telaga tiub di seluruh negara untuk menghadapi kesan peralihan cuaca itu.

Menurutnya Mesyuarat Penyelarasan bagi Menghadapi Cuaca Panas dan Kering yang diadakan pada Rabu, JMG diarahkan membuat pemetaan atau pemadanan lokasi telaga tiub dengan kawasan titik panas di kawasan berisiko bagi memastikan pengurusan bencana dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

"Monsun Barat Daya bermula sejak 14 Mei menyebabkan tiupan angin utama dari arah barat daya dan secara amnya Malaysia mengalami kurang hujan, khususnya di Semenanjung dan Sarawak selain boleh mengakibatkan jerebu jika berlaku pembakaran terbuka tidak terkawal,” menurutnya dalam kenyataan pada Rabu.

Mesyuarat itu turut menetapkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bertanggungjawab menyampaikan pemakluman hari tanpa hujan sekurang-kurangnya tujuh hari berturut-turut (setiap hari) kepada Jabatan Alam Sekitar dan agensi berkaitan serta mengeluarkan nasihat sekiranya terdapat tanda-tanda akan berlaku jerebu rentas sempadan.

Selain itu persiapan lain termasuk pemantauan kemarau akan dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) secara mingguan dan bulanan menerusi Pusat Operasi NAWABS (National Water Balance Management System).

Menurut NADMA, secara keseluruhan untuk analisis hujan tiga bulan semasa menunjukkan hampir keseluruhan negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak menerima hujan melebihi paras normal.

"Hanya beberapa tempat yang menunjukkan keadaan sederhana kering seperti Serian dan Sri Aman, Sarawak dan sebahagian kecil kawasan di negeri Johor dan Melaka.

"Keseluruhan Terengganu dan sebahagian kawasan di Kelantan dan Pahang menjadi kawasan paling tinggi menerima hujan untuk tiga bulan semasa berbanding hujan kumulatif Purata Jangka Panjang (LTM),” menurut kenyataan itu.

NADMA turut menasihatkan, agar semua yang terlibat dalam pengurusan bencana sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan terutama susulan dari cuaca panas dan kering seperti jerebu, kebakaran hutan serta penurunan aras air empangan. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!