Polis tahan lelaki tunggang motosikal ala ‘superman’

Aksi ‘superman’ dengan cara melunjurkan dua kaki ke belakang dan kepala selari dengan meter yang dilakukan suspek semasa menunggang motosikal. - Foto Ihsan PDRM.
Aksi ‘superman’ dengan cara melunjurkan dua kaki ke belakang dan kepala selari dengan meter yang dilakukan suspek semasa menunggang motosikal. - Foto Ihsan PDRM.
A
A
A

MARANG – Seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan polis kerana melakukan aksi ‘superman’ dengan cara melunjurkan dua kaki ke belakang dan kepala selari dengan meter semasa menunggang motosikal pada Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, Superintendan Ismail Man berkata, lelaki tersebut dikesan melakukan aksi berbahaya itu di susur Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) Bukit Payung menghala ke Telemong.

Menurutnya, sebelum kejadian, pasukan Skuad 42 JSPT Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu sedang membuat risikan dan pemantauan samseng jalanan di sekitar kawasan tersebut sebelum melihat aksi suspek.

“Pasukan polis mengekori lelaki itu dan dia ditahan pada jam 6.37 petang sebaik sahaja memberhentikan motosikalnya di tepi jalan susur LPT2 Bukit Payung menghala ke Pasir Tinggi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ismail berkata, suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang bersama motosikalnya untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika sabit kesalahan katanya, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000.

“JSPT Terengganu tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan samseng jalanan.

“Kita akan teruskan operasi sebegini dari masa ke masa bagi mencegah aktiviti tidak sihat ini sekali gus menjamin keselamatan pengguna jalan raya serta ketenteraman awam,” katanya.