X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 07 Julai 2022

Dua beradik lemas jatuh parit

Dua beradik ditemukan lemas akibat terjatuh dalam parit di Segari, Manjung pada Selasa. - Foto ihsan pembaca
A
A

LUMUT - Dua kanak-kanak lelaki berusia enam dan empat tahun ditemukan lemas dipercayai terjatuh dalam parit di Batu 12, Jalan Segari, Pantai Remis di sini pada Selasa.

Kejadian itu disedari selepas ibu mangsa meminta anak lelaki sulungnya berusia 10 tahun mencari kedua-dua adiknya itu untuk dibawa pulang ke rumah.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, aduan awal berhubung kejadian itu diterima daripada orang awam pada jam 7 petang.

"Setibanya polis di lokasi mendapati mayat dua kanak-kanak tersebut terbaring di hadapan rumah.

"Penolong pegawai perubatan yang tiba telah mengesahkan kematian mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa telah keluar bermain di kawasan rumah sekitar jam 5 petang.

"Ketika itu ibu mangsa berusia 36 tahun sedang memasak di dapur sebelum meminta anak lelaki sulungnya mencari kedua-dua adiknya.

"Abang mangsa kemudiannya menjumpai adiknya berada dalam parit dan terus memaklumkan kepada ibunya. Kedua-dua mangsa dibawa naik dengan bantuan orang awam berhampiran," katanya.

Nor Omar berkata, mayat kanak-kanak tersebut dihantar ke Unit Forensik, Hospital Seri Manjung untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Katanya, tiada sebarang unsur-unsur jenayah dikesan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!