Ahli PKR Hulu Selangor dakwa ditawar ganjaran sokong calon bertanding

M Soundrarajan Mariappa (tengah) membuat laporan polis di Balai Polis Rasa pada Selasa.
M Soundrarajan Mariappa (tengah) membuat laporan polis di Balai Polis Rasa pada Selasa.
A
A
A

HULU SELANGOR - Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa dikunjungi seorang individu yang menawarkan ganjaran sekiranya beliau memberi sokongan kepada salah seorang calon bertanding dalam Pemilihan Cabang PKR Hulu Selangor.

Dakwa M Soundrarajan Mariappa, 58, dalam pertemuan pada Isnin, individu terbabit meminta dia mengundi calon terbabit dalam pemilihan cabang berkenaan yang berlangsung pada 21 Mei ini.

“Beliau (individu terbabit) meminta saya supaya memberitahu semua ahli di bawah saya supaya mengundi calon terbabit dan akan diberikan wang sebanyak RM50 kepada setiap ahli di bawah saya.

"Saya juga akan diberikan wang sebanyak RM1,000 jika ahli saya mengundi calon terbabit malah saya diberitahu akan menerima (pembayaran lagi) jika berjaya memanggil lima lagi ketua ahli.

"Saya akan menerima ganjaran sebanyak RM1,000 bagi setiap orang yang mengikuti saya namun saya tidak bersetuju," katanya dalam laporan yang dibuat di Balai Polis Rasa di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, pengadu turut memaklumkan mempunyai calon pilihannya sendiri sekali gus bertindak membuat laporan polis dan seterusnya akan melaporkan perkara tersebut kepada pucuk pimpinan PKR.