Paxlovid diperluas ke hospital, klinik swasta dan hospital pengajar

Khairy Jamaluddin ketika bertemu pengamal media pada Sambutan Aidilfitri Kementerian Kesihatan di Pusat Konvesyen Anatarabangsa Putrajaya (PICC) pada Selasa. - Foto Bernama
Khairy Jamaluddin ketika bertemu pengamal media pada Sambutan Aidilfitri Kementerian Kesihatan di Pusat Konvesyen Anatarabangsa Putrajaya (PICC) pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Ubat antiviral Paxlovid bagi merawat Covid-19 yang sebelum ini digunakan di klinik kesihatan dan hospital kerajaan akan diperluas ke hospital dan klinik swasta serta hospital pengajar, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

"Kita setuju agihkan (ubat antiviral Paxlovid) kepada hospital swasta, klinik swasta dan hospital pengajar supaya penggunaannya dapat diperluaskan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini pada Selasa.

Khairy berkata, setakat ini, 405 pesakit Covid-19 telah diberikan ubat berkenaan dan kesemua mereka telah sembuh sepenuhnya daripada penyakit itu.

"Ubat ini diberikan kepada mereka yang berisiko tinggi... mungkin kumpulan yang akan terima ubat ini akan dibesarkan,” katanya.

Pada Khamis lepas (12 Mei), Khairy memaklumkan seramai 173 pesakit Covid-19 yang diberikan ubat antiviral Paxlovid telah sembuh sepenuhnya dan tiada sebarang kesan sampingan dilaporkan hingga 9 Mei lepas.

Penggunaan ubat antiviral itu bagi merawat pesakit Covid-19 telah dimulakan sejak 15 April lepas di 512 Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di klinik kesihatan dan 78 hospital kerajaan.

Mengenai peningkatan kes Covid-19 ketika ini, beliau berkata, perkara tersebut adalah dalam jangkaan KKM berikutan peningkatan pergerakan orang ramai terutama ketika sambutan Aidilfitri.

"Secara keseluruhan kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) hari ini telah turun kepada 1.04 dan kadar kematian setiap hari adalah satu angka.

"Kemasukan ke hospital meningkat 55 peratus adalah kategori 1 dan 2 melibatkan mereka yang ada komobid. Dari segi jangkitan, ada peningkatan kes Covid-19 adalah sesuatu yang dijangka,” katanya.

Beliau berkata, gelombang jangkitan Covid-19 yang tidak menentu ketika negara dalam fasa peralihan ke endemik adalah sesuatu yang diramal.

"Jangkitan akan ada pasang surut dan bagi KKM, kita akan lihat keseriusan kes dan bukannya bilangan kes.

"Jika kes banyak tetapi keseriusan kurang, ini bermakna kita boleh hidup dengan virus itu. Sekiranya ada varian baharu yang cepat merebak, mungkin kita akan ambil tindakan berbeza,” katanya.

Pada Isnin, dilaporkan bilangan kes baharu Covid-19 di negara ini bagi minggu epidemiologi (ME) ke-19 (8 Mei hingga 14 Mei) meningkat sebanyak 119.2 peratus iaitu kepada 19,137 kes, berbanding 8,732 kes pada minggu sebelumnya (ME ke-18).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menyaksikan kumulatif kes Covid-19 di Malaysia kini sebanyak 4,475,873 kes dengan 29,762 kes aktif. - Bernama