Maritim tahan dua bot nelayan asing, rampas peralatan RM3 juta

Sebahagian daripada nelayan warga asing yang ditahan kerana disyaki menceroboh perairan negara.
Sebahagian daripada nelayan warga asing yang ditahan kerana disyaki menceroboh perairan negara.
A
A
A

MERSING – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing bersama Pasukan Polis Marin (PPM) menahan dua bot nelayan asing Vietnam yang disyaki menceroboh untuk menangkap ikan di perairan negara pada Isnin.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, dua bot berkenaan ditahan di kedudukan kira-kira 7.9 batu nautika dari timur laut Pulau Pemanggil di sini.

Menurutnya, seramai 20 kru termasuk tekong bagi kedua-dua bot yang juga warga Vietnam berusia antara 16 hingga 52 tahun turut ditahan kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Hasil pemeriksaan mendapati dua bot ini lengkap dengan peralatan menangkap ikan selain turut menemui hasil tangkapan laut yang dianggarkan sebanyak 9,000 kilogram.

“Bot ini juga mempunyai bekalan diesel kira-kira 11,500 liter. Bot ini kemudiannya telah diiringi ke Jeti Maritim Malaysia Pos Teluk Gading untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Khairul Nizam berkata, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran daripada Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Hasil rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM3 juta. Maritim Malaysia secara tegas mengambil serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pencerobohan bagi mengaut hasil laut dalam perairan negara.

“Maritim Malaysia juga ingin mengingatkan seluruh komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang untuk mengelakkan daripada dikenakan sebarang tindakan,” katanya.