Penganggur mengaku tidak bersalah culik kanak-kanak

Muhammad Rahim dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini, pada Selasa.
Muhammad Rahim dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru di sini, pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa atas pertuduhan menculik seorang kanak-kanak di sebuah sekolah agama di Pasir Gudang pada 11 Mei lalu.

Tertuduh, Muhammad Rahim Ahmad, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Zulhilmi Ibrahim.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Rahim didakwa telah melakukan culik ke atas seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun di kawasan berhampiran Sekolah Agama Taman Scientex di Pasir Gudang di sini, kira-kira jam 11.30 pagi pada 11 Mei lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang boleh memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan hendaklah dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir menawarkan kepada mahkamah untuk mengenakan nilai jaminan sebanyak RM10,000 ke atas tertuduh kerana melihat itu satu perbuatan yang serius.

Bagaimanapun, Muhammad Rahim yang tidak diwakili peguam meminta agar nilai jaminan yang rendah dikenakan kerana mempunyai tanggungan keluarga serta mempunyai masalah kesihatan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 1 Jun depan sebagai sebutan semula kes.

Sebelum ini, pada 11 Mei media melaporkan seorang murid yang sedang berjalan kaki diculik seorang lelaki tidak dikenali dengan menaiki motosikal dalam kejadian di Sekolah Agama Taman Scientex, Pasir Gudang.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, sebelum kejadian suspek mempelawa kanak-kanak tersebut untuk menghantarnya pulang ke rumah sebelum berjaya melarikannya.

Kejadian itu turut menjadi tular di laman sosial Facebook yang mana terdapat rakaman video dan gambar suspek memakai kemeja-T lengan panjang berwarna putih dan berseluar panjang berjalan sambil mendukung kanak-kanak berkenaan di Taman Kota Masai.