X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Tindakan pembangkang persoal agihan beras dibidas Onn Hafiz

Kenyataan dimuat naik Onn Hafiz di Facebook rasmi miliknya pada Isnin.
A
A

JOHOR BAHRU - Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi membidas tindakan Ketua Pembangkang Johor, Liew Chin Tiong yang mempersoalkan agihan beras menerusi Bantuan Kasih Bangsa Johor (BKBJ).

Menerusi kenyataan dimuat naik di laman Facebook rasminya, Onn Hafiz berdukacita apabila bantuan terbabit dipolitikkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang disifatkan sebagai cuba menangguk di air keruh.

"BKBJ adalah inisiatif kerajaan negeri untuk membantu Bangsa Johor.

Antaranya ialah bantuan 10 kilogram (kg) beras kepada 903,000 ketua isi rumah di negeri ini.

Ia bermakna setiap rumah di Johor akan mendapat bantuan ini (warganegara).

"Sehingga semalam (15 Mei 2022), 10kg beras telah diagihkan kepada 344,197 penerima.

Semuanya mengikut jadual setakat ini," menurut kenyataan itu.

Onn Hafiz memberitahu kerja-kerja pengagihan bantuan sedang dan akan terus diselaraskan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, pegawai-pegawai daerah, ADUN-ADUN Kerajaan, penyelaras DUN, Yang Dipertua (YDP), Ketua-Ketua Kampung, Southern Volunteers dan pelbagai pihak lain.

"Mereka sedang berusaha keras, siang dan malam untuk memastikan setiap isi rumah di Johor menerima sekampit beras, sebagaimana yang telah dijanjikan.

"Pilihan Raya Negeri ( PRN) Johor sudah habis.

Jadilah pembangkang yang konstruktif.

Sama-samalah kita berusaha untuk menyatukan seluruh Bangsa Johor dan bukan memecah belahkan rakyat," menurut kenyataan itu lagi.

Sementara itu Chin Tong menerusi kenyataan di Facebooknya, menyatakan ADUN pembangkang sedia membantu usaha kerajaan negeri.

"Masalahnya sekarang ialah rakyat di semua kawasan pembangkang bertanya tentang butiran edaran beras tetapi kami tidak dapat menjelaskan kepada mereka kerana tidak menerima sebarang maklumat daripada pihak kerajaan.

Demi kebaikan Bangsa Johor, lebih baik maklumat dikongsi secara terbuka dan telus.

"Apabila tiada maklumat yang tepat, rakyat terpaksa bertanya kepada pelbagai pihak tanpa dapat maklumat tepat.

Lebih mudah jika maklumat yang lengkap dikongsikan dengan semua termasuk ADUN pembangkang," katanya.

Sebelum itu pada 27 April lalu, Kerajaan Johor mengumumkan akan mengagihkan bantuan 10 kilogram (kg) beras untuk semua 3.67 juta penduduk di negeri ini.

Onn Hafiz berkata sumbangan melalui Inisiatif BKBJ itu akan mula diagihkan secara berperingkat sehingga 31 Mei depan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!