Tindakan Afifi elak cemar institusi diraja

Saarani Mohamad
Saarani Mohamad
A
A
A

IPOH - Tindakan bekas Orang Besar Delapan Negeri Perak, Datuk Dr Afifi al-Akiti mengundur diri dari jawatan Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan merupakan langkah terpuji.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, biarpun tidak diketahui kesahihan kejadian yang berlaku, namun tindakan diambil itu bertujuan memuliakan institusi diraja.

Menurutnya, langkah diambil itu tu juga kerana tidak mahu mencemarkan institusi diraja.

"Jadi begitulah keadaannya sesiapa sajalah kalau keadaan begitu, kita kena letakkan kepentingan kepada kemuliaan Tuanku raja oleh kerana sultan kita adalah penaung kepada agama Islam, ketua agama Islam negeri itu kena didahulukan sama ada kejadian itu berlaku atau pun tak berlaku

"Beliau telah mengambil tanggungjawab itu untuk tidak menyebabkan Tuanku dilibatkan," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) Negeri Perak di pekarangan Pejabat PPPKM negeri di sini, pada Isnin.

Hadir sama pada majlis itu, Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Yang Dipertua PPPKM negeri, Asmadi Teh.

Sementara itu, Saarani berkata, kerajaan negeri menghargai segala sumbangan diberikan selama menjawat jawatan berkenaan.

Dalam laporan media pada 15 Mei, Afifi memohon perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah untuk berundur diri daripada menyandang gelaran Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan.

Setiausaha Dewan Negara Perak, Datuk Seri Ayop Hashim dalam satu kenyataan memaklumkan, warkah perkenan mengundur diri bertarikh 15 Mei itu telah diangkat sembah untuk pertimbangan baginda.

Dalam warkah berkenaan, Dr Afifi menjelaskan, bahan-bahan yang ditularkan di media sosial sejak dua minggu lalu bertujuan mencemarkan nama beliau dan dilihat mempertikaikan kesesuaian peranan beliau dengan institusi istana dalam hal ehwal agama Islam.

Pada 2 Mei lalu, pengguna Facebook yang menggunakan nama akaun Zaharin Mohd Yasin telah memuat naik tangkapan layar daripada video berdurasi tiga minit 24 saat itu memaparkan imej seorang lelaki yang tidak jelas wajahnya dengan memakai topi yang diapit oleh dua orang wanita di sebuah kelab malam.

Lelaki berkenaan didakwa merupakan salah seorang penasihat dalam Majlis Raja-Raja Hal Ehwal Islam.