KPM kukuh struktur pendidikan negara

Barisan guru yang menghadiri Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-51 di Bachok.
Barisan guru yang menghadiri Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-51 di Bachok.
A
A
A

BACHOK - Setelah dua tahun mengharungi pahit getir mengemudi sistem pendidikan negara ketika pandemik Covid-19, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini mengatur strategi dan melaksanakan gerak kerja dalam menambah baik struktur pendidikan negara.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, penambahbaikan tersebut termasuk bagi meningkatkan kecekapan pengurusan dalam sistem pendidikan negara dan mengoptimumkan peranan guru sebagai jentera yang mencorakkan kemenjadian anak bangsa.

Katanya, fokus kementerian tersebut antaranya melaksanakan sistem pertukaran guru lebih kerap iaitu sebanyak empat tahun sekali berbanding dua kali setahun sebelum ini.

“Pertukaran guru yang digunakan sebelum ini adalah garis panduan pada tahun 1975 dan ia akan susun semula proses itu yang membolehkan permohonan pertukaran guru dibuat sepanjang tahun.

“Proses pertukaran pula akan dilakukan oleh kementerian sebanyak empat kali setahun iaitu selang tiga bulan, pada Mac, Jun, September dan Disember bergantung kepada kekosongan serta keperluan yang ada di sekolah dalam sesebuah negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar pada Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-51 bagi tahun 2022 yang bertemakan 'Guru Tunjang Sekolah Sejahtera' di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini pada Isnin.

Pada majlis tersebut, Datuk Dr Adi Badiozaman @ Badio Zaman Tuah dianugerahkan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2022, manakala Roslan Yatim menerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2022.

Mohd Radzi berkata, tahun lalu sebanyak 55 peratus guru berjaya dalam pertukaran daripada 23,000 keseluruhan permohonan yang diterima oleh KPM.

“Secara purata setiap tahun kementerian menerima lebih 20,000 permohonan pertukaran guru dan yang paling tinggi melibatkan permohonan ke Kelantan membabitkan guru Pendidikan Islam sedangkan guru subjek itu sudah penuh di Kelantan dan kita kekurangan guru Bahasa Inggeris.

“Setiap negeri ditetapkan kapasiti guru misalnya di Kelantan adalah seramai 29,000 orang dan perlu menunggu kekosongan seperti guru pencen atau berhenti,” katanya.

Menurut beliau, permohonan pertukaran juga tidak lagi memerlukan kelulusan guru besar atau pengetua, tetapi guru besar atau pengetua dibenarkan untuk memberi ulasan namun tidak boleh menghalang pertukaran guru-guru.

Dalam pada itu katanya, KPM dapat menyelesaikan 87 peratus daripada 18,702 kekosongan guru yang dihadapi sejak sekian lama menerusi pendekatan kluster guru bagi lebih banyak subjek yang boleh diajarkan oleh seseorang guru.

“Kita tukar pendekatan menggunakan 'mix and match' bagi pengambilan guru dengan menyusun subjek contohnya seorang guru Fizik tidak perlu menunggu kekosongan subjek Fizik sebaliknya boleh diambil terus bagi mengajar subjek Matematik.

“Selebihnya baki sebanyak 23 peratus itu akan diisi secara berperingkat memandangkan KPM berdepan masalah kekurangan guru dalam pasaran terutama membabitkan subjek kritikal,” katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, kementerian juga akan menyediakan platform aplikasi untuk penyusunan jadual dan membangunkan pangkalan data pelbagai maklumat guru serta murid secara berpusat.

“Kementerian turun padang bagi mendengar pandangan dan rungutan daripada warga pendidik mengenai masalah yang dihadapi mereka semasa sesi libat urus yang diadakan sebelum ini.

“Kami akan pastikan ketidakcekapan yang berlaku dalam struktur sistem sekolah dapat diatasi bagi memastikan setiap guru dapat mengisi masa pengajaran di sekolah secara optimum,” katanya.