Nelayan Vietnam curi dua tan hasil laut ditahan

Seramai 21 kru termasuk tekong yang menaiki bot nelayan asing ditahan selepas didapati menceroboh dan mencuri hasil laut di perairan negara.
Seramai 21 kru termasuk tekong yang menaiki bot nelayan asing ditahan selepas didapati menceroboh dan mencuri hasil laut di perairan negara.
A
A
A

KEMAMAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kemaman menahan 21 nelayan Vietnam termasuk tekong bersama dua tan hasil laut yang dicuri di perairan negara semasa rondaan dijalankan pada Sabtu.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, nelayan berusia lingkungan 18 hingga 54 tahun yang menaiki sebuah bot nelayan asing ditahan ketika rondaan bersepadu Op Pagar Laut, Op Kuda Laut dan Op Iman di perairan Terengganu kira-kira jam 5.30 petang.

"Pemeriksaan ke atas bot berkenaan mendapati semua kru dan tekong tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta bot tidak mempunyai permit menangkap ikan di perairan negara.

"Kita turut merampas kira-kira 1,000 liter diesel, dua tan hasil serta peralatan menangkap ikan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1.6 juta," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Antara hasil laut yang dirampas ketika rondaan bersepadu Op Pagar Laut, Op Kuda Laut dan Op Iman di perairan Terengganu pada Sabtu.
Antara hasil laut yang dirampas ketika rondaan bersepadu Op Pagar Laut, Op Kuda Laut dan Op Iman di perairan Terengganu pada Sabtu.

Beliau berkata, bot dan hasil rampasan serta nelayan berkenaan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk menjalani saringan Covid-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum kes diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti perikanan dalam perairan negara tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/63 kerana kru tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Maritim Malaysia memandang serius isu pencerobohan nelayan asing dan akan mempertingkatkan lagi rondaan dan kawalan di Zon Maritim Malaysia bagi memastikan keselamatan perairan negara.

Katanya, orang ramai disarankan memberi kerjasama untuk membantu menangani sebarang aktiviti jenayah maritim dengan membuat aduan melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kemaman ditalian 09-8581653.