Setuju Pengiktirafan Bersama Sijil Vaksin Covid-19

Aaron Ago Anak Dagang
Aaron Ago Anak Dagang
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN bersetuju dengan Pengiktirafan Bersama Sijil Vaksin Covid-19 bagi memastikan perjalanan rentas sempadan yang lancar dan selamat.

Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Anak Dagang berkata, perkara itu dipersetujui dalam sesi perbincangan khas Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN (AHMM) ke-15 yang berlangsung di Bali, Indonesia pada Sabtu.

"Pengiktirafan ini akan dilaksana menggunakan Mekanisme Verifikasi Sejagat ASEAN atau mekanisme lain yang telah dibangunkan berdasarkan spesifikasi teknikal Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Ia bertujuan memudahkan urusan pengesahan sijil vaksinasi Covid-19 yang dikeluarkan oleh setiap negara anggota ASEAN. Malaysia menghargai usaha Indonesia untuk mengambil inisiatif mengetuai pembangunan Mekanisme Verifikasi Sejagat ASEAN itu," menurutnya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.

Beliau berkata, Malaysia berpandangan bahawa sistem itu, yang dilaksana secara sukarela, berpotensi tinggi untuk menyokong negara ASEAN yang belum memiliki sistem verifikasi sijil vaksinasi Covid-19.

"Ia penting bagi melancarkan pembukaan sempadan dan seterusnya mempercepat proses pemulihan ASEAN daripada Covid-19," katanya.

Aaron berkata Malaysia juga bersedia untuk terus bekerjasama dengan negara ASEAN dalam melaksanakan Pengiktirafan Bersama Sijil Vaksin Covid-19 bagi memastikan pembangunan rantau itu yang lebih sihat dan selamat selain menjamin kelangsungan hidup rakyat.

Beliau mengetuai delegasi Malaysia ke AHMM ke-15 yang berlangsung dari 11 Mei hingga hari ini dan mesyuarat itu antara lain memfokus kepada pengukuhan daya tahan sistem kesihatan serta pemulihan ASEAN daripada Covid-19.

Katanya, Malaysia juga akan mengetuai Projek Memperkukuh Kapasiti Makmal berkaitan Biogenomik Covid-19 bagi Negara Anggota ASEAN yang merupakan antara projek Memperkukuh Inisiatif Serantau di ASEAN mengenai Respons Covid-19 dan Inisiatif Kesihatan Awam lain.

"Projek ini akan memfokus kepada aspek teknikal dalam pelaksanaan jujukan penuh genom Covid-19, pengesanan mutasi virus, pembinaan pepohon filogenetik Covid-19 serta analisis genom dan menggiatkan sistem survelan Covid-19. Inisiatif ini diharap dapat memacu ASEAN dalam pemulihan Covid-19," katanya.

Aaron berkata buat julung kalinya juga, satu sesi khas Mesyuarat Menteri-Menteri Kesihatan ASEAN-AS diadakan pada AHMM ke-15 bagi membincangkan hala tuju kerjasama dalam bidang kesihatan dengan tema Charting ASEAN-US Future Collaboration Towards Strenghtening Health Systems for Public Health Emergencies.

Beliau berkata, Malaysia akan terus komited untuk menjalin kerjasama di platform ASEAN dan ASEAN Campur Tiga dengan Republik Korea, Jepun serta China dalam usaha mengukuhkan daya tahan sistem kesihatan dan pemulihan pascapandemik Covid-19 di rantau itu selain menjadi rakan dialog blok tersebut.

"Malaysia juga menyokong penuh pembangunan dan pelaksanaan ASEAN-Agenda Pembangunan Kesihatan Pasca 2015 selain program serta aktiviti di bawah Kluster Kesihatan ASEAN,” katanya. - Bernama