Pusat hiburan di KL patuh SOP: PDRM

Polis menjalankan pemeriksaan ke atas pusat hiburan di sekitar Ibu kota dalam memastikan premis berkenaan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
Polis menjalankan pemeriksaan ke atas pusat hiburan di sekitar Ibu kota dalam memastikan premis berkenaan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mendapati beberapa pusat hiburan yang kembali beroperasi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata selaras dengan kebenaran MKN semua pusat hiburan itu mematuhi arahan yang ditetapkan.

"Antara SOP itu adalah memastikan setiap pelanggan menjalani ujian pantas (RTK-Ag) Covid-19 kendiri dalam tempoh 24 jam sebelum mereka berhibur.

"Pemeriksaan di semua daerah di Kuala Lumpur, iaitu Sentul, Dang Wangi, Cheras, Brickfields dan Wangsa Maju, kita lihat kebanyakan pusat hiburan ini ikut SOP yang dikeluarkan sebelum ini," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Habibi berkata, ada antara pusat hiburan beroperasi sehingga jam 3 pagi berdasarkan lesen kebenaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Namun dua pusat hiburan iaitu di Kepong, Sentul dan Jalan Tan Siew Sin, Dang Wangi, dikenakan tindakan selepas beroperasi sehingga jam 4 pagi.

"Tindakan akan diambil sekiranya mana-mana pemilik atau pengurus sesebuah pusat hiburan melanggar semua syarat yang ditetapkan bukan sahaja arahan MKN malah turut membabitkan kesalahan lain," katanya.

Habibi berkata, operasi dan pemeriksaan mengejut akan diteruskan pada setiap hari bagi memastikan pemilik dan pengunjung mematuhi syarat ditetapkan khususnya bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19.

"Berdasarkan tinjauan malam tadi pemilik juga mematuhi jumlah dan kapasiti pengunjung yang berada dalam premis mereka," ujarnya.