Pemimpin PH ikrar penuhi harapan PM, rakyat

Teresa
Teresa
A
A
A

KUALA LUMPUR – Barisan menteri dan timbalan menteri sedang berusaha mencapai prestasi 100 peratus sepertimana yang diharapkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim menyifatkan tanda aras yang telah diletakkan oleh Perdana Menteri adalah cabaran kepada semua, bukan sahaja kepada menteri dan timbalan menteri malah kepada seluruh kepimpinan PH untuk melakukan yang terbaik bagi memenuhi harapan tinggi rakyat Malaysia.

“Tun Mahathir telah meletakkan satu harapan yang tinggi seperti mana semua rakyat Malaysia, saya rasa itu adalah suatu perkara yang baik.

ARTIKEL BERKAITAN: "Saya pun kecewa dengan mereka"

“Kita didorong oleh harapan tersebut, saya rasa ini telah membolehkan semua menteri bekerja keras untuk mencapai prestasi dan juga jangkaan tersebut,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Steven yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam memberitahu, di pihak Kementerian Belia dan Sukan mungkin belum lagi mencapai tahap 100 peratus, tapi dalam tempoh lapan ini banyak perkara telah dilaksanakan dan boleh dinilai oleh pemegang taruh.

Ketika ditanya berkenaan jawapan dan kenyataan yang tidak relevan dikeluarkan oleh pimpinan PH, beliau yang juga Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang menyerahkan penilaian itu dibuat sendiri oleh Perdana Menteri dan rakyat.

“Itu biar penilaian dibuat oleh Perdana Menteri dan juga rakyat sendiri, saya lihat secara amnya rakan-rakan sekerja saya dalam Kabinet ataupun para timbalan menteri telah bekerja dengan rajin.

Artikel Berkaitan:

“Mungkin kita belum lagi mencapai markah yang diingini oleh rakyat tapi saya rasa usaha sedang berjalan dan saya mohon lebih banyak masa diberikan untuk melaksanakan amanah yang telah diberikan kepada kita,” katanya.

Steven dan Mahfuz
Steven dan Mahfuz

Sementara itu, Menteri Industri Utama, Teresa Kok turut menyatakan, Perdana Menteri meletakkan harapan yang sangat tinggi dan ia akan cuba dipenuhi oleh semua pimpinan PH.

“Saya rasa semua anggota Kabinet bekerja dengan bersungguh-sungguh untuk menambah baik kementerian dan juga melaksanakan dasar-dasar yang telah dirancang,” ujar Ahli Parlimen Seputeh itu.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berpendapat, sebagai manusia harus berfikir jauh ke hadapan dan tidak seharusnya berpuas hati dengan prestasi yang dikecapi.

“Kalau kita berpuas hati, kita tidak ada motivasi untuk bekerja untuk mencapai sesuatu yang lebih membanggakan.

“Dan saya fikir, kenyataan Perdana Menteri itu, mengingatkan semua agar tidak berasa selesa dengan apa yang dicapai, sebaliknya bekerja ke arah mencapai sesuatu yang lebih tinggi,” ujar Naib Presiden Amanah berkenaan.

Semalam, Tun Dr Mahathir meluahkan rasa kecewa dengan pentadbiran PH yang didakwa kurang menunjukkan prestasi.

Menurutnya, bukan hanya Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, malah ramai yang melahirkan kekecewaan terhadap prestasi kerajaan PH.