Lelaki maut dalam pergaduhan di Kampung Baru

No Image Caption
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki maut dalam pergaduhan yang berlaku berhampiran kawasan medan selera Kampung Baru, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.20 malam itu melibatkan pergaduhan di antara mangsa, seorang wanita dengan empat lelaki warga tempatan yang saling mengenali.

Menurutnya, mangsa yang cedera berusia 30-an dibawa ke Hospital Bukit Mertajam oleh orang awam namun disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan.

"Kita masih lagi menyiasat punca pergaduhan ini dan mengesan beberapa lagi suspek yang terlibat dalam insiden ini," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Ahmad Shahir Adnan di talian 019-9517045 atau 04-5382222.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pada Ahad, tular tiga buah video berdurasi lima, tujuh dan 10 saat yang memaparkan kejadian pergaduhan menggunakan senjata tajam.

Video bertajuk seorang wanita menyerang menggunakan senjata tajam itu turut memaparkan keadaan seorang lelaki berlumuran darah dipercayai akibat diserang dalam pergaduhan terbabit.