Sarawak akan putuskan SOP untuk pub, kelab malam

 Kui Hian - Foto Bernama
Kui Hian - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Sarawak akan memutuskan tidak lama lagi sama ada prosedur operasi standard (SOP) untuk pub dan kelab malam yang dikeluarkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) baru-baru ini, terpakai bagi negeri itu.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri (JPBN) akan bermesyuarat tidak lama lagi untuk berbincang dan memuktamadkan perkara itu.

Beliau berkata, jawatankuasa itu mempunyai kata putus, terutama mengenai perkara berkaitan langkah pencegahan Covid-19 di Sarawak.

"Pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat tidak lama lagi,” kata beliau yang juga penasihat JPBN kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri sambutan Hari Wesak peringkat negeri Sarawak di sini pada Ahad.

Pada 12 Mei lepas, KPKT mengeluarkan garis panduan Protokol Operasi Pub dan Kelab Malam Berlesen, yang antara lain menyenaraikan pelanggan pub dan kelab malam berlesen perlu melakukan ujian kendiri Covid-19 dalam tempoh 24 jam sebelum memasuki premis bermula 15 Mei ini.

Jika pelanggan tidak melakukan ujian, premis boleh menjalankan ujian RTK-AG (ujian pantas antigen) ke atas mereka dan memastikan keputusan ujian Covid-19 tersebut negatif. - Bernama