X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Remaja buat 'live' ketika tembak mati 10 individu di pasar raya AS

Suspek ditahan selepas dipujuk anggota polis. - Foto: abcnews.com
A
A

NEW YORK - Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun menembak mati 10 individu pada Sabtu di sebuah pasar raya di Buffalo, New York, Amerika Syarikat (AS) dalam serangan 'bermotifkan perkauman' yang disiarkan secara langsung menerusi kamera, kata pihak berkuasa.

Pesuruhjaya Polis Buffalo, Joseph Gramaglia pada sidang akhbar memaklumkan bahawa remaja bersenjata yang memakai perisai badan dan topi keledar ditahan selepas pembunuhan beramai-ramai itu.

Gramaglia menyatakan jumlah kematian 10 orang dan tiga cedera - sebanyak 11 daripada mangsa adalah berkulit hitam.

Menurutnya, remaja itu menembak empat orang di kawasan parkir pasar raya Tops - tiga daripadanya maut, kemudian masuk ke dalam premis dan terus melepaskan tembakan rambang.

Antara yang terbunuh di dalam premis berkenaan ialah seorang pesara polis yang bekerja sebagai pengawal keselamatan bersenjata.

"Apabila polis tiba di lokasi kejadian, remaja terbabit meletakkan pistol di lehernya, tetapi berjaya dipujuk dan menyerah diri," kata Gramaglia.

Sementara itu, Stephen Belongia, ejen khas yang bertanggungjawab bagi pejabat lapangan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) di Buffalo memberitahu sidang akhbar bahawa serangan tersebut sedang disiasat sebagai jenayah kebencian.

"Kami sedang menyiasat insiden ini sebagai jenayah kebencian dan kes ekstremisme ganas bermotifkan perkauman,” kata Belongia.

John Flynn, peguam daerah bagi Erie County berkata, suspek akan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh kelas pertama yang membawa hukuman penjara seumur hidup tanpa parol.

Dalam pada itu, Jurucakap perkhidmatan penstriman Twitch mengesahkan kepada AFP bahawa penyerang menggunakan platformnya untuk menyiarkan secara langsung serangan itu.

"Kami menyiasat dan mengesahkan sudah mengeluarkan rakaman kurang daripada dua minit selepas keganasan bermula," kata jurucakap itu sambil menambah Twitch mengambil semua tindakan yang sewajarnya termasuk memantau mana-mana akaun yang menyiarkan semula kandungan tersebut. - AFP


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!