Joshua tekad bangkit dalam acara epee berpasukan lelaki

Joshua Koh I-Jie
Joshua Koh I-Jie
A
A
A

ATLET lawan pedang negara, Joshua Koh I-Jie ‘terbang’ ke temasya Sukan SEA Hanoi 2021 dengan harapan untuk menukar warna pingat daripada perak yang dimenanginya pada edisi sebelum ini kepada emas.

Bagaimanapun, beliau terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa dimenanginya dalam acara epee individu lelaki pada Sabtu.

Atlet berusia 32 tahun itu tewas 5-15 kepada Jose Noelito Jr dari Filipina pada peringkat separuh akhir dan berkongsi pingat gangsa dengan atlet Singapura, Simon Renjie Lee yang turut terkandas dalam satu lagi saingan separuh akhir.

Atlet tuan rumah Vietnam, Nhat Nguyen Tien memenangi pingat emas keempat berturut-turut dalam acara tersebut selepas mengenepikan Jose 15-11 pada peringkat akhir acara epee lelaki berlangsung di Gimnasium Tertutup Hanoi.

Walaupun sedikit kecewa tidak berjaya meraih pingat emas keduanya di temasya dwitahunan itu, Joshua bertekad untuk bangkit dan melakukan yang terbaik dalam acara epee berpasukan lelaki.

"Sudah tentu kecewa kerana saya rasa boleh lakukan yang lebih baik. Perlu buat beberapa analisis dan melihat kesilapan yang dilakukan, kemudiannya mencari penyelesaian agar dapat lakukan lebih baik pada masa depan,” katanya.

Joshua yang membuat kemunculan sulung di Sukan SEA edisi 2007 di Kora, telah meraih masing-masing satu pingat emas dan perak selain empat gangsa keseluruhannya.

Sementara itu, pengurus pasukan, Kimberly Janet Ansibin berkata, kempen skuad lawan pedang negara diteruskan dalam acara foil individu lelaki diwakili Tristen Cheng Xing Han dan Hans Yoong Wei Shen, diikuti epee berpasukan lelaki dan foil berpasukan wanita pada Selasa serta foil berpasukan lelaki pada Rabu. - Bernama