Segerakan pelan pemulihan ekonomi warga Felda

Asrullah Affendi
Asrullah Affendi
A
A
A

KUANTAN - Pelan Pemulihan Ekonomi warga Felda perlu dilaksana segera dalam menjaga kepentingan warga peneroka yang kian tenat.

Ketua Penerangan Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) Wilayah Kuantan, Asrullah Affendi Abdullah berkata, dalam keperitan ekonomi pada masa kini warga Felda terpaksa mengikat perut berjimat demi kelangsungan hidup.

Apatah lagi kejatuhan harga komoditi sawit memberi kesan secara langsung terhadap punca pendapatan warga Felda dan peneroka generasi kedua.

"Justeru MBFM menggesa kerajaan dan menteri yang bertanggungjawab hal ehwal Felda seluruh Malaysia agar segera bangkit.

"Usahlah terus tidur, kembalikan semula keseimbangan ekonomi warga Felda yang kini sedang dihimpit dengan pelbagai permasalahan yang melanda syarikat konglomerat itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, sehingga hari ini tiada jaminan diberikan kepada warga Felda mengenai bila masalah ini akan dipulihkan.

"MBFM Wilayah Kuantan memandang serius isu Felda ekoran peristiwa demi peristiwa yang berlaku terhadap warga peneroka, baik generasi pertama mahu pun kedua sejak beberapa bulan ini.

“Pelbagai keputusan luar jangka melalui kenyataan pihak kerajaan juga seolah-olah menafikan jasa dan pengorbanan warga Felda yang mana mereka juga turut bersama-sama membangunkan ekonomi negara sejak penubuhan Felda pada 1956," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, walaupun warga Felda tinggal di kawasan luar bandar, namun apa yang telah mereka terjemahkan sepanjang berada di kawasan tanah rancangan Felda ini telah membuktikan jasa dan kesungguhan yang sewajarnya mendapat perhatian eksklusif pihak kerajaan.

“Di dalam keadaan apa sekali pun, kerajaan wajar memberikan perhatian penuh kepada warga Felda.

"Kami juga sarankan menteri yang menjaga kepentingan dan hal ehwal Felda lebih fokus dengan kenyataan yang dikeluarkan agar rakyat tidak hilang keyakinan hanya kerana kenyataan yang tidak perlu.

“Dengan mengadakan perbincangan bersama pertubuhan bukan kerajaan dan warga Felda itu sendiri, pelan ekonomi secara drastik dan komprehensif dapat dilaksanakan bagi memberikan impak yang sihat kepada semua warganya," katanya

Tambahnya, usaha itu harus digerakkan pada ketika kejatuhan harga komoditi sawit yang melibatkan seluruh warga Felda di negara ini.

MBFM Wilayah Kuantan komited menjadi penggerak kepada usaha positif yang bakal dilaksanakan kerajaan walaupun mengambil masa lama untuk melaksanakannya.