KRT diremajakan, kolaborasi dengan KBS

Wan Ahmad Fayhsal menyantuni tetamu yang hadir sempena Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Simpat Ampat Semanggol di sini pada Sabtu.
Wan Ahmad Fayhsal menyantuni tetamu yang hadir sempena Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Simpat Ampat Semanggol di sini pada Sabtu.
A
A
A

BAGAN SERAI - Kementerian Perpaduan Negara sedang bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan bagi mewujudkan sayap kepimpinan golongan muda dalam Kawasan Rukun Tetangga (KRT).

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, usaha itu dibuat selepas mendapati banyak KRT ketandusan pelapis muda menyebabkan sebahagiannya tidak lagi aktif sepertimana berlaku kepada 974 KRT seluruh negara sebelum ini.

Menurutnya, dengan kolaborasi itu, kementerian melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional serta Jabatan Belia dan Sukan akan mengaktifkan semula program jiran muda agar persatuan belia dapat bergerak seiring dengan KRT tempatan.

"Saya difahamkan penglibatan anak muda dalam KRT masih rendah, mungkin kerana KRT ini sinonim dengan warga pencen menyebabkan anak muda menjahui sistem dan budaya KRT itu sendiri.

"Persepsi ini kita nak ubah dan atas faktor itu kita sedang usahakan bersama Kementerian Belia dan Sukan untuk wujudkan semula jiran muda yang pernah ada 20 tahun dulu.

"Menerusi usaha yang digerakkan, KRT dapat distrukturkan dan diremajakan semula, malah mereka dapat bergerak bersama-sama belia menyelesaikan masalah setempat dengan lebih cergas dan efektif," katanya kepada pemberita sempena Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Simpat Ampat Semanggol di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, di kawasan penempatan bandar, penglibatan persatuan belia dalam KRT adalah lebih baik contohnya di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi yang bersama-sama menjayakan projek pertanian bandar dan program tanggungjawab sosial.

Katanya, perkara sama boleh dilaksanakan di KRT yang lain selari dengan Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Pelan tindakan kita juga bergerak ke arah itu. Kerjasama ini sedang berjalan cuma dari segi perlaksanaannya, masih dalam proses penelitian kedua-dua jabatan," katanya.

Kementerian Perpaduan Negara pada Mac lepas memaklumkan telah mengesan 974 daripada 9,304 KRT berdaftar di seluruh negara tidak lagi aktif memainkan peranan di kawasan masing-masing.

Pendaftaran KRT yang terlibat itu tidak dibatalkan, sebaliknya berusaha mengaktifkan semula peranannya dengan dengan membuat pemilihan pengerusi baharu dan ahli jawatankuasa (AJK) baharu supaya komuniti setempat kembali aktif.