Skuad takraw lelaki negara ‘terlepas’ pingat emas

Aksi sepak takraw lelaki antara Malaysia (jersi biru) berdepan Thailand pada Jumaat. - Foto Sukan SEA Hanoi 2021
Aksi sepak takraw lelaki antara Malaysia (jersi biru) berdepan Thailand pada Jumaat. - Foto Sukan SEA Hanoi 2021
A
A
A

SKUAD sepak takraw lelaki negara terlepas peluang untuk merebut pingat emas pada temasya Sukan SEA Hanoi 2021 setelah tewas 0-3 kepada Thailand di Dewan Sukan Daerah Hoang Mai, pada Jumaat.

Kekalahan itu sekali gus menyaksikan skuad negara perlu mencatatkan kemenangan ketika berdepan Kemboja pada Sabtu serta menewaskan Vietnam untuk meraih pingat perak pada edisi kali ini.

Pada aksi berdepan Thailand itu, regu pertama negara di wakili Zarif Marican Ibrahim Marican, Aidil Aiman Azwawi dan Muhammad Afifuddin Razali terpaksa akur dengan kehebatan trio Phutawan Sopa, Pattarapong Yupadee dan Siitipong Khamcan apabila tewas 4-21 dan 19-21.

Regu kedua negara diwakili Muhammad Faisal Mohd Fuad, Norfaizzul Abd Razak dan Muhammad Norizat Nordin kemudiannya tewas 16-21, 11-21 kepada porchai Kaokaew, Yotsawat Uthaijaronsri dan Pornthep Tingbangbon.

Aksi regu ketiga diwakili Muhammad Haziq Hairul Nizam (Zuhri Muhammad Zin), Redwan Hakim Muhammad (Muhammad Eqbal Shamsuddin) dan Muhammad Zulhasni Basri turut dilihat gagal memberikan saingan kepada regu Thailand yang menampilkan Jirasak Pakbuangoen, Rachan Viphan dan Kritsanapong Nontakote (Wichan Temkort), 9-21, 7-21.

Sementara itu skuad sepak takraw wanita negara, menewaskan Laos 2-1 dengan menyaksikan regu pertama negara menang 21-15, 21-5, sebelum regu kedua tewas 11-21, 15-21 sebelum regu ketiga menang 21-14, 14-21, 21-12.