Sultan Nazrin berkenan lancar program Waqaf 365

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (tengah) berkenan bergambar bersama pengurusan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak (PKEINPk) pada majlis Pelancaran WaQaf 365 di Impiana hari ini. - Foto Bernama
Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (tengah) berkenan bergambar bersama pengurusan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak (PKEINPk) pada majlis Pelancaran WaQaf 365 di Impiana hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan melancarkan program WaQaf 365 anjuran Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak (PKEINPk) Sdn Bhd (PSB) di sebuah hotel di sini pada Jumaat.

Keberangkatan tiba Sultan Nazrin kira-kira jam 10 pagi itu diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Majlis yang dihadiri lebih 200 orang dimulakan dengan tazkirah, bacaan ayat suci al-Quran diikuti doa sebelum pelancaran.

PSB merupakan syarikat milik penuh Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) yang ditubuhkan pada 28 Jun 2012.

Pengerusi PSB, Datuk Dr Mohamad Hashim Ahmad Tajudin dalam ucapannya pada majlis itu berkata, program WaQaf 365 diwujudkan menerusi kaedah kutipan dengan teknologi terkini secara dalam talian yang mudah, berterusan dan sistematik bagi menjayakan mandat untuk meningkatkan kutipan wakaf tunai am.

Beliau mengajak semua pihak khususnya agensi kerajaan dan swasta, pemain industri kewangan Islam, syarikat-syarikat amanah dan pengurusan pusaka, agamawan dan seluruh masyarakat untuk tampil menghulurkan sumbangan menjayakan program WaQaf 365.

Katanya, sumbangan sama ada secara material, perkhidmatan, pemikiran, tenaga dan masa diperlukan supaya wakaf dapat berperanan efektif untuk membangunkan taraf sosioekonomi ummah. - Bernama