ESSCom gempur pondohan haram di Kudat Rabu depan

Hamzah
Hamzah
A
A
A

KOTA KINABALU - Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) akan melancarkan operasi merobohkan pondohan atau pondok kecil di perairan Si Bogo, Pulau Bangkawan, Kudat, menerusi Operasi Gasak Laut Siri 1/2022, pada Rabu depan.

Komander ESSCom Deputi Komosioner Hamzah Ahmad berkata, sejumlah pondohan tidak berpenghuni diberikan notis pengosongan untuk dirobohkan.

Katanya, pembinaan pondohan haram di kawasan perairan berkenaan dibimbangi menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan masyarakat di Sabah.

"Hasil tinjauan pasukan keselamatan menerusi aset-aset udara dan pemeriksaan di lapangan mendapati kewujudan pondohan mutakhir ini dilihat semakin bertambah di perairan tersebut.

"Melalui maklumat perisikan pondohan haram tersebut berpotensi dijadikan lokasi 'staging point', persinggahan elemen penjenayah rentas sempadan yang ingin melakukan penculikan, rompakan dan penyeludupan di perairan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone)," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Sehubungan itu, Hamzah berkata, tindakan penguatkuasaan diambil sebagai langkah proaktif untuk menghindarkan kegiatan pembinaan struktur haram daripada terus berleluasa selain dieksploitasi penjenayah di kawasan perairan ESSZone.

"Pihak berkuasa akan menguatkuasakan Perundangan dengan mengeluarkan notis di bawah peruntukan Seksyen 48(1) (j) Enakmen Taman Taman Sabah 1984 pindahan 2007 dan Akta Imigresen 1959/63 termasuk undang-undang lain yang berkaitan apabila operasi dijalankan kelak di perairan itu.

"Mana-mana individu atau kumpulan lain dinasihatkan untuk segera mengosongkan dan merobohkan pondohan, penempatan dan bagang haram masing-masing sebelum pihak berkuasa mengambil tindakan," katanya.

Dalam pada itu, Hamzah meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan pembinaan struktur atau bagang haram menyalurkannya kepada pusat operasi ESSCom di talian 089-863181 atau melalui aplikasi WhatsApp 011-63311072.