Tuchel mahu tebus kekalahan Piala Liga

Sepakan Arizabalaga yang menyebabkan Chelsea tewas kepada Liverpool pada aksi final Piala Liga Februari lalu. - Foto Getty Images
Sepakan Arizabalaga yang menyebabkan Chelsea tewas kepada Liverpool pada aksi final Piala Liga Februari lalu. - Foto Getty Images
A
A
A

SETELAH dikecewakan Liverpool pada final Piala Liga Februari lalu, pengendali Chelsea, Thomas Tuchel mahu skuad kendaliannya itu menebus semula kekecewaan berkenaan dengan mencatatkan kemenangan ke atas The Reds pada aksi final Piala FA di Wembley pada Sabtu.

Katanya, kesebelasan The Blues diharap tidak mempersia-siakan kesempatan berbuat demikian sekali gus memastikan kelab berkenaan berjaya menjulang sekurang-kurangnya satu trofi musim ini.

“Kita pernah kecewa dengan mereka (Liverpool) sebelum ini...oleh itu kita tidak mahu kecewa lagi dan pemain mempunyai peluang untuk menebus kekecewaan berkenaan.

“Kita juga masih segar dengan kemenangan 3-0 ke atas Leeds United di Elland Road baru-baru ini dan ia diharap mampu menyuntik semangat pemain.

“Apa pun, kesemua pemain perlu memberikan yang terbaik dalam usaha memastikan misi kemenangan ini dapat direalisasikan,” katanya kurang 24 jam menjelang aksi final berkenaan.

Untuk rekod, Chelsea tewas 10-11 menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi final Piala Liga 28 Februari lalu setelah kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan setelah tamat masa perlawanan sebenar.

Sementara itu pemain Chelsea, Ruben Loftus –Cheek mengakui sudah tidak sabar untuk berdepan Liverpool bagi ‘membalas dendam’ atas kekalahan The Blues pada aksi final Piala Liga Februari lalu.

Katanya, kekalahan itu sememangnya wajar ditebus bagi memastikan Chelsea dapat menepati sasaran untuk memenangi satu piala musim ini.

“Saya sudah tidak sabar untuk beraksi dan ‘menewaskan’ Liverpool setelah kami dikecewakan pada final Piala Liga sebelum ini.

“Apa pun, kesemua pemain diharapkan dapat memberikan aksi terbaik dan seterusnya membantu merealisasikan hasrat berkenaan (menewaskan Liverpool),” katanya.