Bedah siasat tiga lagi jenazah pelajar USAS dijalankan hari ini

Bedah siasat tiga jenazah pelajar USAS akan dijalankan di Forensik Hospital Taiping pada Jumaat.
Bedah siasat tiga jenazah pelajar USAS akan dijalankan di Forensik Hospital Taiping pada Jumaat.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Bedah siasat ke atas tiga lagi mayat pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang maut dalam kemalangan di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara selepas Terowong Menora di sini akan dijalankan di Hospital Taiping pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, proses berkenaan dijalankan bagi mendapatkan laporan penuh kematian.

Menurutnya, dua mangsa yang selesai menjalani proses bedah siasat pada malam Khamis telah dituntut keluarga masing-masing bagi proses pengebumian.

"Masih ada lagi tiga mayat akan dibuat bedah siasat. Bedah siasat ketiga-tiga mayat tersebut akan dijalankan di Forensik Hospital Taiping pada hari ini (Jumaat)," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, kesemua waris tiga jenazah berkenaan telahpun memberikan sampel untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Omar Bakhtiar
Omar Bakhtiar

"Kita akan menunggu laporan penuh bedah siasat daripada pihak hospital terlebih dahulu sebelum membenarkan jenazah dibawa keluar oleh keluarga," katanya.

Pada Khamis, proses bedah siasat ke atas mayat dua daripada lima pelajar USAS yang dilakukan di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar, selesai.

Identiti kedua-dua mangsa iaitu Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, dari Kemaman, Terengganu dan rakannya, Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, dari Parit Buntar telah dikenal pasti melalui kad pengenalan yang ditemui pada mayat.

Jenazah dua sekawan itu telah dibawa ke Masjid Raja Permaisuri Bainun USAS pada malam Khamis untuk solat jenazah selepas solat Isyak sebelum dibawa balik ke kampung masing-masing.

Dalam kejadian sekitar jam 12.52 malam Rabu lepas, lima pelajar USAS yang menaiki kereta Honda City rentung selepas kereta dinaiki terbakar akibat dirempuh sebuah treler.

Ketika kejadian, Ahmad Naim Najmi duduk di bahagian penumpang hadapan kereta manakala Ahmad Akmal pula di bahagian penumpang belakang sebelah kiri kenderaan.

Tiga lagi mangsa terlibat adalah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, pemandu kereta, Iqbal Hasnun Halimi, 23, dan Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, masing-masing duduk di bahagian belakang.