‘Saya tiada masalah jika mahu siasatan terbuka isu skandal Forex’

Anwar (kanan) semasa program Debat Perdana yang turut menampilkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan disiarkan langsung dari Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) pada Khamis.
Anwar (kanan) semasa program Debat Perdana yang turut menampilkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan disiarkan langsung dari Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak mempunyai masalah sekiranya kerajaan mahu menjalankan siasatan terbuka mengenai ‘skandal forex' atau tukaran wang asing membabitkan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1990-an.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menyindir Datuk Seri Najib Tun Razak sambil menyatakan bahawa dirinya berbeza dengan bekas Perdana Menteri itu.

“Kalau esok boleh bercakap dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), bagi tahu Peguam Negara (Tan Sri Idrus Harun) buka siasatan terbuka, saya tidak ada masalah. Ini beza saya dengan Datuk Seri Najib.

“Saya tidak mahu mana-mana kes yang melibatkan mana-mana ahli politik dan menggunakan jentera politik untuk menutup kes atau mendera orang.

“Saya tidak suka jentera politik atau jentera kerajaan digunakan dan diperalatkan untuk menekan musuh politik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Debat Perdana yang turut menampilkan Najib dan disiarkan langsung dari Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) pada Khamis.

Debat ini mendapat kerjasama empat media iaitu Sinar Harian, Astro Awani, Malaysia Gazette dan Sin Chew Daily.

Skandal Forex merujuk kepada kerugian tukaran wang asing berjumlah RM31.5 bilion membabitkan BNM dari 1991 hingga 1994 semasa negara diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengulas lanjut, Anwar semasa debat turut memberi peringatan kepada Najib yang membangkitkan soalan tentang skandal Forex terbabit kepadanya.

“Tapi jangan lupa, ramai yang terpalit termasuk sebelah sana. Ini bukan kecil-kecil.

“Kalau nak ambil, ambil secara yang profesional supaya negara ini dapat diyakini,” tegasnya.