Penunggang basikal parah terperosok bawah MPV di Lebuhraya NPE

Salah seorang mangsa kemalangan yang parah dihantar ke PPUM untuk rawatan lanjut.
Salah seorang mangsa kemalangan yang parah dihantar ke PPUM untuk rawatan lanjut.
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Tiga individu termasuk penunggang basikal parah selepas terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Baru Pantai (NPE) menghala ke Bandar Sunway di sini pada Khamis.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.18 petang.

Menurutnya, seramai 10 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Kemalangan itu melibatkan sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki berusia 30 tahun dan wanita berusia 27 tahun dengan sebuah basikal ditunggang seorang lelaki warga asing berusia 40-an di laluan yang sama.

"Pelanggaran itu menyebabkan penunggang basikal telah tercampak di tengah jalan sebelum dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Alza yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, penunggang basikal yang tersepit di bawah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dikeluarkan orang awam.

"Kesemua mangsa kemudiannya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan lanjut," katanya.