Keluarga mohon henti kongsi video nahas rentung

Ahmad Hafizan (kiri) kelihatan tenang ketika tiba di Hospital Kuala Kangsar pada Khamis bagi menyelesaikan tuntutan jenazah anaknya, Ahmad Naim Najmi.
Ahmad Hafizan (kiri) kelihatan tenang ketika tiba di Hospital Kuala Kangsar pada Khamis bagi menyelesaikan tuntutan jenazah anaknya, Ahmad Naim Najmi.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Keluarga pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang maut dalam kemalangan di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan arah utara selepas Terowong Menora di sini meminta orang ramai berhenti berkongsi video insiden kebakaran itu.

Ahmad Hafizan Abdul Rahman, 49, berkata, penyebaran video berkenaan di media sosial termasuk aplikasi WhatsApp sejak pagi Khamis telah menggores perasaan ahli keluarga yang bersedih dengan kehilangan orang tersayang.

"Sampai sekarang saya tak ada kekuatan nak lihat semua gambar dan video-video yang tersebar itu. Banyak dan memang ramai orang kongsi tetapi saya tak sanggup nak tengok.

"Kalau boleh saya minta janganlah ditularkan lagi. Saya tak nak benda-benda macam itu jadi tatapan umum kerana membuatkan kami bertambah sedih," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar di sini pada Khamis.

Ahmad Hafizan iaitu bapa kepada Allahyarham Ahmad Naim Najmi, 21, tiba dari Terengganu sekitar jam 3 petang bagi menyelesaikan proses tuntutan jenazah.

Menurutnya, arwah yang merupakan anak sulung daripada empat beradik merupakan anak harapan keluarga dan berjaya menyambung pengajian daripada diploma kepada Ijazah Sarjana Muda Kaunseling.

"Arwah agak pendiam orangnya, tetapi sangat aktif dalam aktiviti persatuan. Dia juga merupakan bekas MPP (majlis perwakilan pelajar) ketika dalam pengajian diploma dahulu," katanya.

Menurut beliau, sebelum kejadian itu, arwah ada menelefonnya sekitar jam 8 malam memberitahu mahu keluar ke Ipoh untuk membeli beberapa barang termasuk buku.

"Masa dia telefon itu, nada suaranya biasa sahaja sebab itu saya dan isteri terkejut apabila dimaklumkan yang anak kami meninggal dunia dalam kemalangan.

"Walaupun sedih dengan kehilangan ini, kami sabar dan reda. Ketika ini, saya cuma mahu anak saya selamat dikebumikan," katanya.

Dalam kejadian sekitar jam 12.52 malam itu, lima pelajar USAS yang menaiki kereta Honda City rentung selepas kereta dinaiki terbakar akibat dirempuh sebuah treler.

Mangsa terlibat adalah Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, pemandu kereta, Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, penumpang hadapan, Iqbal Hasnun Halimi, 23, Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20, masing-masing duduk di bahagian belakang.

Beberapa video kejadian itu dikongsi pengguna lebuh raya di media sosial menunjukkan keadaan api marak disusuli beberapa letupan.

Sinar Harian difahamkan, setakat jam 7 malam, proses bedah siasat ke atas lima mayat berkenaan masih lagi berjalan di Hospital Kuala Kangsar.

Bagaimanapun dua jenazah telah dapat dikenal pasti iaitu Ahmad Naim Najmi dan Ahmad Akmal dari Taman Kerian Permai, Parit Buntar.

Kedua-dua jenazah akan disembahyangkan di Masjid Raja Permaisuri Bainun, USAS selepas solat Isyak pada Khamis sebelum dihantar ke Kemaman, Terengganu dan Parit Buntar.