Devan tabik pemain NSFC

K Devan
K Devan
A
A
A

WALAUPUN tewas 0-1 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super pada Rabu di Stadium Paroi, jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC) K.Devan tetap memuji persembahan yang ditampilkan pemainnya pada perlawanan tersebut.

Menurut Devan, dia merasakan pasukannya beraksi lebih baik berbanding JDT pada perlawanan itu namun agak kurang bernasib baik kerana gagal memanfaatkan beberapa peluang yang terhidang.

Katanya, sekiranya skuad Hobin Jang Hobin mampu kekal konsisten beraksi seperti ini, mereka mampu memberikan saingan dalam Liga Super musim ini.

"Pemain saya menunjukkan karakter sebenar dan bagaimana cara bermain bola sepak. Saya tabik dengan pasukan dan rasa bangga dengan semua pemain NSFC.

“Kami perlu bermain secara proaktif dan tidak boleh bermain secara reaktif apabila berdepan pasukan seperti JDT. Kami menyerang dan saya rasa kami bertahan lebih baik berbanding lawan tetapi kami gagal menyempurnakan peluang yang ada,"katanya.

Pada perlawanan tersebut, rekod kalah Negeri Sembilan lebur apabila jaringan saat akhir oleh Fernando Forestieri memberikan skuad Harimau Selatan tiga mata untuk dibawa pulang ke Johor.

Kekalahan itu menyaksikan NSFC kini turun ke tangga kedua dengan mengutip 14 mata daripada tujuh perlawanan setakat ini.

Dalam pada itu, Devan ketika diminta mengulas mengenai keputusan pengadil perlawanan yang memberikan tambahan masa 10 minit pada perlawanan tersebut, beliau enggan memberikan apa-apa komen mengenai perkara tersebut

"Saya tidak mahu nak komen apa-apa mengenai keputusan tersebut. Sebab saya hanya jurulatih dan bukannya pengadil," ujarnya.

Pada masa yang sama, Devan turut teruja dengan kehadiran puluhan ribu penyokong kedua-dua pasukan dan menganggap situasi ini sebagai petanda positif buat perkembangan bola sepak di Negeri Sembilan.

“Sudah lama kita tidak lihat situasi seperti hari ini. Walaupun kalah, penyokong masih menunggu para pemain dan ini adalah petanda positif buat bola sepak Negeri Sembilan," katanya.