Mohd Shafie nafi Warisan 'tutup pintu'

Mohd Shafie (duduk, tengah) pada sidang media selepas melancarkan Warisan Care di ibu pejabat Warisan di Kolombong di sini pada Khamis.
Mohd Shafie (duduk, tengah) pada sidang media selepas melancarkan Warisan Care di ibu pejabat Warisan di Kolombong di sini pada Khamis.
A
A
A

KOTA KINABALU - Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menafikan bahawa beliau 'menutup pintu' untuk bekerjasama dengan parti lain.

Sebaliknya beliau sekali lagi menegaskan bahawa mahu memperkukuhkan Warisan terlebih dahulu sebelum mengadakan kerjasama dengan mana-mana parti ketika ini.

"Kita akan lihat (kerjasama), saya tidak kata kita akan bergerak sendiri atau ada pakatan. Kita kukuhkan dulu parti, kita ada penilaian sendiri.

"Saya berkawan dengan sesiapa saya, dengan orang DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR). Saya tidak boleh tutup pintu saya," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Warisan Care di ibu pejabat Warisan di Kolombong di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah Warisan akan bergerak secara solo di Sabah untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Tambah beliau, kerjasama antara parti politik perlu dilakukan terutama apabila sesebuah parti itu menjadi kerajaan di sesebuah negeri dan parti yang lain menjadi kerajaan di peringkat Persekutuan, namun ia mesti berlandaskan sebuah kerjasama pintar.

"Macam di Sabah jadi kerajaan (negeri) kita mesti bekerjasama dengan Semenanjung (Persekutuan) kerana kita dalam sebuah negara, tetapi kita mesti bijak untuk memperincikan dengan bentuk dan siapa kita mahu kerjasama itu.

"Kita tidak kata mahu gerak sendiri tetapi kita kena teliti dahulu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Diminta mengulas lanjut hala tuju kerjasama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), beliau memaklumkan Muda juga harus kukuhkan parti mereka terlebih dahulu.

"Dari awal saya maklumkan kepada Saddiq (Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman), bila saya lancarkan parti saya di Semenanjung, saya lancarkan dulu, kemudian dia (Muda) lancarkan dan selepas itu kita sain memorandum tetapi ia tidak berjalan dengan lancar.

"Jadi saya ada bercakap dengan Saddiq semalam, saya kukuhkan parti saya, kamu kukuhkan parti kamu," katanya.