Sulaiman nafi letak jawatan Ketua Menteri Melaka

Sulaiman
Sulaiman
A
A
A

MELAKA - Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menafikan dakwaan bahawa beliau meletak jawatan.

Pejabat Ketua Menteri dalam satu kenyataan berkata, berita peletakan jawatan itu adalah dakwaan yang berniat untuk mengganggu gugat kestabilan kerajaan negeri selepas kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15.

Menurut kenyataan itu, isu sebegini tidak sepatutnya timbul terutamanya ketika UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri sedang fokus memperkukuhkan usaha dan tenaga untuk merampas kembali kerusi Parlimen yang telah hilang semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 lalu.

"Keterbukaan saya mendengar pandangan ahli-ahli politik negeri Melaka bukanlah suatu kelemahan, sebaliknya ia adalah kekuatan bagi menghasilkan keputusan yang terbaik.

"Sempena bulan Syawal yang mulia ini, saya menyeru agar kita semua bermuhasabah demi menguatkan parti dan memberikan tumpuan kepada usaha untuk memenangi PRU15 akan datang.

"Kita punya agenda yang lebih besar dan utama dari bermain politik seperti ini, saya orang parti, dan sebagai orang parti kita dituntut mematuhi keputusan yang telah dibuat oleh parti," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Sulaiman kini berada di Sarajevo, Bosnia Herzegovina bersama Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bagi menghadiri Sarajevo Business Forum 2022.

Ujar beliau, misi ini adalah untuk mengintai peluang-peluang pelaburan di negara tersebut serta untuk menarik pelaburan asing ke Melaka.

"Pada masa sama, saya terus memberikan perhatian dan mengikut rapat perkembangan yang berlaku di negeri Melaka.

"Baik daripada segi pentadbiran kerajaan negeri mahupun daripada segi perkembangan politik tanah air," katanya.

Baru-baru ini wujud khabar angin yang mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu dipaksa menandatangani surat peletakan jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka.