Label tin ikan, isi daging babi

Muhammad Ikram (tengah) dan Azhari (dua dari kiri) dalam sidang akhbar mengenai kejayaan Maqis Pulau Pinang merampas produk daging babi pada Khamis.
Muhammad Ikram (tengah) dan Azhari (dua dari kiri) dalam sidang akhbar mengenai kejayaan Maqis Pulau Pinang merampas produk daging babi pada Khamis.
A
A
A

GEORGETOWN - Sebanyak 20,736 tin produk daging babi yang diisi dalam 864 kotak dan dilabelkan sebagai produk makanan ikan dirampas dalam satu pemeriksaan rutin oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang.

Pengarahnya, Muhammad Ikram Abd Talib berkata, taktik oleh sebuah syarikat pengimport yang berpangkalan di Pulau Pinang itu berjaya dikesan pada Februari lalu.

Menurutnya, semua produk bernilai RM326,592 itu dirampas di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) selepas penguatkuasa Maqis mendapati ia bukan daging ikan seperti yang diisytiharkan.

"Pemeriksaan lanjut di Jabatan Kimia mendapati, syarikat pengimport tersebut telah mengimport kira-kira tujuh tan produk dari China itu adalah daging babi, bukannya isi ikan.

"Kita mendapati syarikat itu cuba mengaburi mata pihak berkuasa, namun gagal apabila kita berjaya menghidu kegiatan tersebut.

"Kesemua produk berkenaan disita kerana menggunakan maklumat palsu dan mengelirukan," katanya ketika ditemui di Majlis Hari Raya Aidilfitri dan Majlis Penghargaan Maqis Pulau Pinang Kepada Media di Ibupejabat Maqis Pulau Pinang di Batu Maung, di sini pada Khamis.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Maqis Pulau Pinang, Dr Azhari Sharidan Abu Bakar.

Tambah Muhammad Ikram, pihaknya turut mengeluarkan kompaun sebanyak RM16,000 kepada syarikat pengimport mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

"Produk daging babi yang disita ini pula akan dilucut hak dan dilupuskan sama ada menerusi kaedah tanam atau menggunakan insinerator.

"Mengimport dengan mengemukakan maklumat palsu dan tidak tepat adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728]," katanya.

Ujarnya, larangan pengimportan serta membawa masuk produk babi di setiap pintu masuk negara adalah bagi menghalang risiko kemasukan virus African Swine Fever (ASF) ke negara ini.

"Virus berkenaan mampu menjejaskan industri penternakan babi dan produk hasilan babi. Antara produk yang berisiko dalam penularan virus ASF adalah babi hidup serta produk berasaskan babi seperti babi salai; sosej babi; babi yang ditinkan dan sebagainya.

"Oleh itu, memberikan maklumat palsu, tidak tepat atau mengelirukan dalam pengimportan keluaran pertanian adalah satu kesalahan serius. Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Jelas beliau, pihaknya akan terus memperkasakan penguatkuasaan undang-undang untuk memastikan kawalan biosekuriti serta tahap jaminan keselamatan makanan terpelihara.

"Kita mengambil langkah lebih serius mengenai pengimportan melalui sempadan

negara terutamanya isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara," katanya.