'Bukan tiru Haaland'

De Bruyne meraikan jaringannya dengan melakukan aksi meditasi seperti dilakukan Haaland. - Foto Getty Images
De Bruyne meraikan jaringannya dengan melakukan aksi meditasi seperti dilakukan Haaland. - Foto Getty Images
A
A
A

TONGGAK Manchester City, Kevin De Bruyne menyifatkan tindakannya meraikan jaringan seolah-olah melakukan meditasi seperti yang sering dilakukan bintang Borussia Dortmund, Erling Haaland, bukannya bermaksud untuk meniru pemain kelahiran Norway itu.

Malah menurut De Bruyne, dia meraikan jaringannya dengan cara sedemikian kerana pernah menjaringkan tiga gol dalam mana-mana perlawanan sebelum ini.

“Saya melakukan aksi itu kerana saya menjaringkan tiga gol kali ini. Perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Oleh itu saya secara spontan melakukan aksi seperti itu, mungkin juga bagi meraikan kedatangan Haaland ke Etihad pada musim panas nanti,” katanya.

Untuk rekod, De Bruyne meledak empat gol bagi membantu kemenangan 5-1 ke atas Wolverhampton Wanderers pada Rabu.

Kemenangan itu menyaksikan City menjarakkan semula kedudukan dengan meraih 89 mata berbanding 86 mata yang dimiliki pencabar terdekat Liverpool ketika ini dengan kedua-dua pasukan masing-masing masih memiliki baki dua perlawanan bagi mengesahkan juara Liga Perdana Inggeris (EPL), musim ini.

Sementara itu pengendali City, Pep Guardiola menyifatkan tindakan membawa Haaland ke Etihad dilihat sebagai tindakan yang tepat bagi memastikan skuad The Citizens itu terus memiliki pemain-pemain berkaliber dari seluruh dunia.

“Kemasukan Haaland merupakan tindakan yang betul dan kehadirannya bukan hanya untuk seketika, mungkin juga untuk masa yang lebih lama kerana bagi saya, dia merupakan seorang pemain yang hebat yang mana turut seiring dengan usianya ketika ini.

“Apa pun, saya juga yakin dia (Haaland), mampu untuk menyesuaikan diri dengan City termasuk dengan corak permainan yang kita terapkan selama ini,” katanya.

Haaland dijangka menyertai City setelah kelab berkenaan bersetuju untuk mengaktifkan klausa pelepasan RM347 juta pemain berkenaan dengan Borussia Dortmund.

Bagaimanapun setakat ini, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan Dortmund atau Manchester City berhubung perpindahan tersebut.