Tindakan pantas LUAS berjaya elak pencemaran Sungai Langat

Pemeriksaan ke atas bengkel lori yang disyaki penyebab pencemaran.
Pemeriksaan ke atas bengkel lori yang disyaki penyebab pencemaran.
A
A
A

HULU LANGAT - Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berjaya mengelak pencemaran serius berlaku di Sungai Langat melalui tindakan pantas dan kawalan di tapak.

Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata, LUAS menerima laporan daripada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bahawa terdapat kesan seakan minyak diesel di dalam longkang awam berhampiran Sungai Langat pada jam 3.45 petang, Rabu.

Menurutnya, siasatan mendapati pencemaran tersebut disyaki berpunca daripada sebuah bengkel lori berdasarkan penemuan sisa minyak di longkang berhampiran premis berkenaan.

"Sehubungan itu, LUAS telah mengaktifkan Kod Kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan secara menyeluruh.

"Pensampelan telah dijalankan oleh LUAS di empat lokasi berbeza di dalam dan luar premis berkenaan, di kawasan hulu dan hilir Sungai Langat selain Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengambil sampel di dalam bengkel tersebut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, anggaran jarak pencemaran ke loji rawatan air (LRA) Semenyih 2 adalah 24 kilometer (km) manakala LRA Bukit Tampoi (32 km) dan LRA Labohan Dagang (44 km).

Sisa minyak di dalam longkang awam berhampiran Sungai Langat pada Rabu.
Sisa minyak di dalam longkang awam berhampiran Sungai Langat pada Rabu.

Jelasnya, Air Selangor telah meletakkan dua beg serbuk karbon teraktif ke dalam longkang berhampiran premis bagi menahan sisa minyak masuk ke saluran longkang seterusnya ke Sungai Langat.

"Tindakan kawalan segera di tapak dalam tempoh kurang empat jam ini juga melibatkan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tiada gangguan kepada LRA dan bekalan air kepada pengguna.

"LUAS telah mengeluarkan arahan kepada premis terlibat berdasarkan Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 untuk mengalihkan apa-apa bahan pencemar yang berpotensi mencemarkan aliran air sungai serta melaksanakan pembersihan segera agar pencemaran tidak berulang," katanya.

Tegas Loy Sian, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air dan tindakan tegas akan diambil selaras peruntukkan Enakmen LUAS 1999.

Beliau turut menyeru semua pihak prihatin terhadap aktiviti yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air negeri dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada LUAS untuk diambil tindakan segera.