X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 04 Julai 2022

Kenaikan harga minyak libat minyak masak campuran

Minyak masak campuran dan bukan tulen tidak berada dalam kategori Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011. Gambar kecil: Alexander Nanta Linggi
A
A

PUTRAJAYA - Peningkatan harga minyak masak yang berlaku ketika ini dikenal pasti melibatkan minyak masak campuran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, minyak masak campuran dan bukan tulen tidak berada dalam kategori Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP).

"Dalam kes ini jenama Knife, Red Eagle ialah minyak masak yang tidak berada dalam kategori kawalan perundangan AKHAP," katanya menerusi ciapan di Twitter pada Rabu.

Menurutnya, meskipun Malaysia adalah antara pengeluar minyak sawit mentah (CPO) terbesar di dunia, tetapi harga ditentukan pasaran dunia atau dalam erti kata yang lebih tepat ialah pasaran bebas.

"Namun ini tidak bermakna peniaga boleh sesuka hati 'main' harga minyak masak campuran di pasaran," katanya.

Beliau berkata, KPDNHEP mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat mengikut AKHAP, berdasarkan asas mencatut.

"Notis kepada premis akan dibuat mengikut Seksyen 21 AKHAP dan sekiranya wujud unsur pencatutan, tindakan perundangan boleh diambil mengikut Seksyen 14(1) akta sama," katanya.

Alexander berkata, harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit tulen dijual dalam botol ditetapkan berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2021.

"Harga minyak masak lima kilogram (kg) adalah RM29.70, RM18.70 (3kg), RM12.70 (2kg), dan RM6.70 (1kg)," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas respon Gabungan Persatuan Pedagang Pelbagai Barangan Malaysia bahawa harga beberapa jenama minyak masak meningkat RM10 untuk sebotol 5kg.

Ujarnya, penguat kuasa KPDNHEP sudah mendapat makluman berhubung kes tersebut dan sedang dalam tindakan selanjutnya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!