Tiada unsur jenayah kes letupan di Taman Cenderawasih

Laporan Sinar Harian mengenai insiden letupan yang berlaku di Taman Cenderawasih pada malam Ahad lalu.
Laporan Sinar Harian mengenai insiden letupan yang berlaku di Taman Cenderawasih pada malam Ahad lalu.
A
A
A

NIBONG TEBAL -Tiada unsur jenayah yang dikesan dalam insiden letupan yang berlaku di Taman Cenderawasih pada malam Ahad lalu.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Lee Chong Chern, selepas siasatan dan pemeriksaan forensik dilakukan termasuk dari Unit Pemusnah Bom (UPB) di tempat kejadian.

Jelasnya, polis tidak menemui sebarang bahan letupan di lokasi kejadian dan percaya kejadian berpunca daripada tong gas memasak di salah sebuah rumah yang terlibat.

"Siasatan setakat ini mendapati letupan berlaku berpunca daripada tong gas memasak di rumah tersebut namun pihak polis masih menunggu keputusan dari pihak bomba berhubung kejadian yang mencederakan lima sekeluarga itu.

"Kita tidak menemui sebarang unsur jenayah, dan unit UPB juga tidak menemui kewujudan bahan letupan di situ,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Dalam pada itu, Chong Chern berkata, pihaknya juga belum menerima sebarang keputusan dari forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan pihaknya berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada pihak terlibat membuat siasatan.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam Ahad, lima cedera termasuk seorang parah dalam kejadian letupan dipercayai berpunca daripada letupan gas memasak.

Kejadian berlaku ketika mangsa baharu pulang ke rumah dan insiden letupan berlaku semasa mangsa membuka pintu rumah.

Mangsa yang cedera kini dirawat di Hospital Pulau Pinang dan kejadian itu turut menyebabkan empat buah rumah mengalami kerosakan.