Solidariti GRS-BN: Itu pandangan Hajiji, BN belum ada komen

Yakub
Yakub
A
A
A

KOTA KINABALU - Jawatankuasa kerjasama solidariti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) yang dibentuk dan diumumkan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor belum sampai ke peringkat BN.

Timbalan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan menganggap, langkah itu mungkin sebagai hala tuju GRS dengan BN namun belum dibincangkan.

"Insya-ALLAH ia akan sampai di peringkat perbincangan GRS dengan BN dalam solidariti ini," katanya selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) bersama Jawala Plantation Industries Sdn Bhd (JPISB) dan Forest Interactive Foundation (FIF) di bangunan Wisma Bandaraya KSTI di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya berhubung pembentukan jawatankuasa kerjasama solidariti GRS-BN yang diumumkan pada Isnin.

Diminta mengulas lanjut bahawa tujuan pembentukan jawatankuasa itu adalah bagi mengelak pertembungan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Yakub yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai berkata, ia adalah pandangan pemimpin dalam GRS itu sendiri.

"Itu adalah pandangan beliau (Hajiji), di pihak BN belum ada komen lagi," katanya.

Hajiji memaklumkan pembentukan itu selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi GRS di Menara Kinabalu.

Sementara itu, mengulas mengenai program yang dihadirinya, Yakub yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah berkata, kerjasama KSTI dengan dua syarikat itu adalah untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk pembangunan sains, teknologi dan inovasi negeri ini khususnya di sekolah.

"Syarikat ini juga menawarkan kepakaran mereka untuk bekerjasama dengan KSTI dalam pelbagai program dalam usaha memperkasakan sains, teknologi dan inovasi sekali gus menjayakan misi Sabah Maju Jaya," ujarnya.