MMA terima 36 laporan kes buli doktor pelatih sejak 2016

Dr Koh Kar Chai
Dr Koh Kar Chai
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menerima 36 laporan berkaitan kes buli membabitkan doktor pelatih sejak tahun 2016.

Presidennya, Dr Koh Kar Chai berkata, kebanyakannya telah berjaya diselesaikan menerusi siasatan yang dibuat dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Saya tidak pernah definisi kes 'buli' ini tidak berlaku, ia memang berlaku dan perlu ditangani segera agar tidak merosakkan profesion kedoktoran negara," katanya pada sidang akhbar di MMA House pada Selasa.

Beliau berkata, dalam tempoh itu juga sebanyak 84 kes lagi aduan diterima melibatkan isu tuntutan dan pertukaran tempat doktor bertugas.

"Kami berharap pasukan petugas yang ditubuhkan oleh KKM dapat membantu menyelesaikan isu ini kerana budaya buli ini bukan sahaja memberi kesan terhadap doktor pelatih malahan semua yang terlibat dalam profesion ini," ujarnya.

Jelasnya, budaya buli perlu dihentikan bukan setakat melalui hukuman kepada pelakunya malah satu kajian secara menyeluruh juga perlu dibuat bagi mengetahui puncanya.

"Saya juga nasihatkan kepada doktor senior gunalah bahasa yang baik ketika mengajar doktor pelatih, jangan maki hamun.

"Malah kita ingin tahu apa punca tahap tekanan dalam kalangan doktor perubatan amat yang didakwa tinggi sejak kebelakangan ini," katanya.

Dalam pada itu, Kar Chai turut menafikan aduan yang dibuat bocor atau gagal diselesaikan sebelum ini.

"Ada banyak aduan yang kita kena rahsiakan melibatkan kes sensitif terutama kes gangguan seksual, setiap aduan yang diterima diselesaikan menerusi tindakan tegas dengan pihak terlibat (mangsa dan pelaku) tanpa perlu dihebahkan," katanya.

Beliau berkata, terdapat juga kes pengadu menarik balik laporan yang dibuat.

"Aduan ini ditarik balik secara sukarela dan bukannya disebabkan pengadu diugut," jelasnya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang doktor pelatih yang ditempatkan di Hospital Pulau Pinang awal bulan lalu dipercayai terjatuh dari bangunan dan meninggal dunia pada 17 April 2022.

KKM juga dilaporkan akan menubuhkan pasukan petugas bebas bagi menyiasat laporan kematian doktor pelatih itu dan dakwaan budaya buli di kemudahan kerajaan.