Piala Uber 2022: Thailand terlalu kuat buat Malaysia

Aksi Pearly Tan-MThinaah ketika menentang Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai di Stadium Impact Arena Bangkok, pada Isnin. - Foto Bernama
Aksi Pearly Tan-MThinaah ketika menentang Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai di Stadium Impact Arena Bangkok, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

HASRAT skuad badminton wanita negara untuk bangkit memberi cabaran dalam saingan Piala Uber 2022 tidak kesampaian apabila terpaksa akur dengan kehebatan tuan rumah Thailand, apabila tunduk 4-1 dalam aksi Kumpulan C di Impact Arena, Bangkok pada Isnin.

Hadir dengan misi melakar kemenangan setelah dijinakkan Denmark 3-2 pada Ahad, Goh Jin Wei yang menggalas cabaran sebagai perseorangan pertama berdepan Ratchanok Intanon bermula cemerlang pada set pertama 21-14 sebelum akur pengalaman bekas juara dunia itu dengan 14-21, 15-21.

Gandingan beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah kembali menyalakan semangat kemenangan pasukan negara apabila bangkit tewas 16-21, untuk menjinakkan Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai 21-19, 21-17.

Bagaimanapun Thailand yang tidak mengalah kembali mendahului menerusi bintang sensasi perseorangan kedua, Pornpawee Chochuwong yang berdepan tentangan sengit sebelum menewaskan pemain muda negara, Myisha Khairul 22-20, 21-10.

Momentum positif itu kemudiannya diteruskan Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard yang tampil dengan reputasi beregu kedua tuan rumah apabila menewaskan pasangan negara Valeriee Siow-Teoh Mei Xing 21-9, 21-14.

Pemain perseorangan ketiga negara, Tan Zhing Yi yang ditampilkan untuk memberi cabaran berjaya menyaingi Busanan Ongbamrungphan sebelum akur dengan kekalahan 19-21, 6-21.

Kekalahan kedua dilakar skuad wanita negara menyaksikan cabaran negara pada edisi Bangkok 2022 berakhir di peringkat kumpulan biarpun masih mempunyai satu baki perlawanan menentang Mesir pada Selasa.