Lelaki tular tidak sedarkan diri dipercayai disamun

Tangkap layar video tular memaparkan seorang lelaki tular terbaring di bahu jalan dipercayai akibat disamun dan dipukul. (Gambar kecil: Muhammad Idzam)
Tangkap layar video tular memaparkan seorang lelaki tular terbaring di bahu jalan dipercayai akibat disamun dan dipukul. (Gambar kecil: Muhammad Idzam)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang dirakam terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri di bahu jalan di Taman Tenaga, Cheras di sini dipercayai akibat disamun dan dipukul oleh dua orang lelaki.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, pihaknya terkesan rakaman video yang memaparkan kejadian tersebut berdurasi lapan saat tular di media sosial sekitar jam 5 petang pada Isnin.

"Polis Cheras telah menerima laporan berhubung kejadian ini daripada isteri mangsa. Mangsa masih menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras.

"Siasatan awal mendapati mangsa telah dipukul dan disamun oleh dua lelaki warga tempatan. Mangsa belum dapat ditemu bual kerana tidak dibenarkan oleh doktor berikutan keputusan ujian calitan Covid-19 belum selesai," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, isteri mangsa melaporkan bahawa dompet milik mangsa didapati telah hilang semasa kejadian.

Sehubungan itu, Muhammad Idzam berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan siasatan terperinci sedang dijalankan pihak polis.

"Sekiranya terdapat sebarang maklumat, orang ramai boleh menghubungi hotline polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, hotline polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan," ujarnya.