MMI kemuka empat cadangan atasi kes buli doktor pelatih

Kenyataan MMI
Kenyataan MMI
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia Medics International (MMI) mengemukakan empat cadangan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya segera menangani kes buli dan layanan tidak adil terhadap doktor pelatih.

MMI dalam satu kenyataan berkata, empat cadangan tersebut antaranya mengubah pemikiran dan budaya buli dalam kalangan pekerja, malah polisi di tempat kerja juga perlu melaksanakan cara komunikasi yang lebih budiman.

“Kajian juga telah menunjukkan bahawa persekitaran tempat kerja yang toksik secara tidak langsung akan menjejaskan kualiti penjagaan pesakit yang disampaikan oleh pegawai perubatan dan doktor pakar, sekiranya mereka secara konsisten tertakluk kepada keganasan dan situasi pekerjaan yang tidak adil,” katanya.

Cadangan tersebut dikemukakan ekoran laporan kematian seorang doktor pelatih yang bertugas di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 17 April lalu.

Mengulas lanjut, MMI turut mencadangkan supaya KKM memupuk ketelusan penuh dalam siasatan dan penilaian semula sistem latihan Pegawai Pelatih.

“Kami merayu agar KKM menangani isu keganasan dengan serius dan menguatkuasakan pementoran penuh belas kasihan dan standard komunikasi profesional terhadap semua rakan sekerja perubatan.

“Buli, penderaan lisan dan emosi, serta kata-kata perkauman harus ditentang sekeras-kerasnya,” katanya.

Kumpulan itu turut menggesa agar melaksanakan perubahan munasabah pada waktu kerja mingguan bagi mengurangkan tekanan dan memastikan kesejahteraan mental tenaga kerja lama dan baharu.

“Ini kerana 65 hingga 75 jam bekerja setiap minggu adalah tidak adil kepada doktor muda,” katanya.

Cadangan terakhir yang dicadangkan MMI adalah menggalakkan pemantauan kesihatan mental dan kesejahteraan fizikal secara aktif dalam kalangan kakitangan perubatan lama dan baharu.

“Justeru, kami merayu KKM melaksanakan pengekalan dasar kesihatan mental dan kesejahteraan yang lebih baik di tempat kerja, serta memudahkan akses kakitangan perubatan kepada kesihatan mental,” ujar kumpulan berkenaan.