Aduan Sungai Skudai berbuih sejak Sabtu

Marina (kiri) meninjau Sungai Skudai yang dilaporkan berbuih.
Marina (kiri) meninjau Sungai Skudai yang dilaporkan berbuih.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sungai Skudai dilaporkan berbuih sejak Sabtu lalu, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk khususnya di Kampung Laut, Skudai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim berkata, aduan telah dipanjangkan kepada Jabatan Alam Sekitar ( JAS) agar tindakan segera dapat diambil.

"Difahamkan JAS sudah melakukan pemantauan dan anggota penguat kuasa jabatan itu berada di kawasan terbabit bagi mencari punca.

"Saya juga telah menyelusuri kawasan sungai berkenaan namun buih putih sudah tidak sebanyak seperti di dalam video yang tular," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Tangkap layar video tular memaparkan keadaan Sungai Skudai yang berbuih.
Tangkap layar video tular memaparkan keadaan Sungai Skudai yang berbuih.

Sebelum itu, beberapa rakaman video Sungai Skudai berbuih ditularkan sehingga menimbulkan kebimbangan memandangkan ia antara sungai utama di Bandaraya Johor Bahru.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor dilaporkan telah mengambil sampel air Sungai Skudai yang berbuih itu sejak Sabtu lalu, namun mendapati kualitinya berada pada tahap normal.

Timbalan Pengarah JAS Johor, Mohd Rashdan Topa dilaporkan berkata, tahap alkali (ph) air sungai itu direkodkan pada bacaan 7 apabila sampelnya diuji.

JAS Johor bersama K Raven melakukan tinjauan di Sungai Skudai pada Isnin.
JAS Johor bersama K Raven melakukan tinjauan di Sungai Skudai pada Isnin.

JAS Johor yang melakukan tinjauan di Sungai Skudai pagi Isnin dilaporkan tidak menolak kemungkinan kejadian yang berlaku di sungai itu berpunca daripada industri di kawasan sekitar.

Tinjauan berkenaan turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K Raven.